Seremban: Seekor harimau kumbang jantan seberat 43 kilogram memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan di sekitar kebun durian, Kampung Baru Pertang di Jelebu pagi tadi.
Pengarah Perhilitan Negeri, Faizal Izham Pikri berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 58 tahun memaklumkan haiwan tersebut telah memasuki perangkap pada 9.30 pagi.
Beliau berkata perangkap berkenaan dipasang pada 1 Julai lepas oleh Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM), Perhilitan negeri.
“Sebaik sampai ke lokasi kejadian terdapat seekor harimau kumbang jantan memasuki perangkap tersebut. Pemeriksaan lanjut mendapati harimau itu cedera dan terdapat kesan darah di bahagian ekornya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata haiwan itu akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk rawatan sebelum dilepaskan semula ke habitat asal.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pihaknya akan memasang semula perangkap di lokasi tersebut dalam masa terdekat kerana disyaki masih terdapat harimau kumbang lain di kawasan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd