Harimau kumbang ‘kurus’ tepi jalan undang resah

Harimau kumbang ‘kurus’ tepi jalan undang resah

HULU TERENGGANU: Seorang pengusaha bot laju di Tasik Kenyir terkejut apabila terserempak dengan seekor harimau kumbang yang berkeliaran berhampiran Pengkalan Gawi di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, Mohd. Amirul Azfar Sagnal, 29, berkata, dia pada mulanya berhenti di sebuah stesen minyak untuk membeli minuman sebelum melihat haiwan liar berkenaan sedang duduk di seberang jalan.

Katanya, dia merakam video harimau kumbang itu dari dalam kereta sebelum cuba menghalaunya supaya masuk semula ke kawasan hutan.

“Apabila harimau itu berjalan, saya perasan badannya kelihatan agak kurus. Mungkin ia sakit atau sedang kelaparan. Ini kali pertama saya terserempak dengan harimau kumbang di kawasan ini. Difahamkan, haiwan itu sudah dua malam muncul di sekitar Pengkalan Gawi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rakaman video berdurasi beberapa saat yang dimuat naik ke media sosial malam tadi turut tular apabila meraih lebih 1.3 juta tontonan dan 27,000 tanda suka.

Sementara itu, pemain industri pelancongan Tasik Kenyir, Sulong Mustafa berkata, kemunculan harimau kumbang berkenaan menimbulkan kebimbangan memandangkan kawasan itu adalah antara lokasi tumpuan pelancong.

Dia berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi mengesan dan menangkap haiwan liar berkenaan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Ini kali pertama harimau kumbang muncul di kawasan ini. Sudah tentu ia mengejutkan penduduk serta pengusaha pelancongan. Saya juga berharap orang ramai lebih berhati-hati, terutama pada waktu malam, dan mengelakkan daripada menghampiri atau mengganggu haiwan tersebut sekiranya terserempak dengannya,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top