Harimau Malaya bakal dirombak besar-besaran?

Harimau Malaya bakal dirombak besar-besaran?

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Rombakan besar-besaran dijangka mewarnai struktur pengurusan dan kejurulatihan Harimau Malaya dengan hanya beberapa individu berkemungkinan dikekalkan bagi mengemudi skuad kebangsaan ke fasa baharu.

Menurut sumber, antara individu yang berkemungkinan terus memainkan peranan dalam pasukan negara ialah Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan, Dr Craig Duncan, bekas pemain kebangsaan, Hairuddin Omar serta bekas kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil Zafuan Abd Razak.

“Memang ada kemungkinan rombakan besar dilakukan dengan hanya beberapa individu dikekalkan dalam struktur sedia ada.

“Bagaimanapun, perkara itu masih bergantung kepada perancangan dan keputusan yang akan dibuat,” kata sumber.

Dalam perkembangan sama, jurulatih sementara skuad Harimau Malaya Tan Cheng Hoe turut dikaitkan dengan kemungkinan kembali mengisi jawatan pengarah teknikal Harimau Malaya selepas sebelum ini dilantik jawatan sama pada April 2025.

“Bagi jawatan ketua jurulatih pula, keputusan dijangka dibuat tahun depan dengan kemungkinan pengendali dari luar negara turut dipertimbangkan. Ada beberapa nama berada dalam radar FAM, namun setakat ini belum ada keputusan muktamad,” katanya.

Cheng Hoe bagaimanapun diberi tanggungjawab berbeza pada Jun lalu apabila dilantik sebagai ketua jurulatih interim Harimau Malaya bagi menggantikan Peter Cklamovski, sekali gus kembali mengemudi skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.

Difahamkan, beberapa calon jurulatih luar negara berada dalam radar FAM bagi mengisi jawatan ketua jurulatih tetap, namun identiti mereka masih belum dapat dipastikan.

Selain Cheng Hoe, kedudukan individu lain dalam struktur sedia ada turut menjadi perhatian sekiranya rombakan berkenaan diteruskan, terutama membabitkan perancangan teknikal dan pengurusan pasukan kebangsaan.

Sementara itu, FAM ketika dihubungi enggan mengulas mengenai rombakan terbabit dan meminta untuk menunggu sebarang pengumuman kelak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top