Harimau Malaya belasah Vietnam 4-0

Harimau Malaya belasah Vietnam 4-0
Pemain Malaysia, Rodrigo Holgado (tiga dari kiri) diasak pemain Vietnam, Pendant Quang Vinh (dua dari kiri) pada perlawanan kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. Foto Bernama

Pemain Malaysia, Rodrigo Holgado (tiga dari kiri) diasak pemain Vietnam, Pendant Quang Vinh (dua dari kiri) pada perlawanan kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. Foto Bernama

HARIMAU Malaya meraih tiga mata berharga selepas menundukkan seteru utama dalam Kumpulan F, Vietnam 4-0 pada aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan badi tanpa kemenangan Malaysia selama 11 tahun ke atas pasukan di ranking 109 dunia itu.

Kehadiran empat pemain warisan baharu dalam kesebelasan utama pasukan negara nyata menyuntik aura luar biasa apabila skuad kendalian Peter Cklamovski itu agresif menyerang kubu pertahanan lawan

Ia menyebabkan Vietnam terpaksa lebih banyak bertahan dan gagal untuk merencana sebarang gerakan ke kawasan pasukan negara.

Malah, dua penyerang warisan baharu skuad negara iaitu Joao Vitor Figueireido dan Holgado turut mencipta nama selaku penjaring dalam penampilan pertama mereka sebagai pemain Harimau Malaya.

Peluang terbaik Harimau Malaya hadir pada minit ke-35 apabila sepakan deras dari luar kotak penalti Dion Cools terkena tiang gol.

Lima minit kemudian, satu lagi peluang terhidang buat Harimau Malaya apabila Hector Hevel menghantar bola yang berjaya ditanduk penyerang warisan baharu Figueireido.

Bagaimanapun, penjaga gol Vietnam, Nguyen Filip berjaya menyelamatkan percubaan tersebut sebelum Arif Aiman turut mendapat peluang pada penghujung separuh masa pertama yang turut gagal disudahkan memastikan kedudukan kekal tanpa gol pada separuh masa pertama.

Figueireido membuka akuan jaringannya bersama Harimau Malaya apabila rembatannya terbias pertahanan lawan dan melambung menewaskan Filip untuk menggamatkan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Holgado menambah gol kedua skuad negara selepas tenang menyudahkan hantaran Arif Aiman Hanapi pada minit ke-58.

Arif Aiman sekali lagi menjadi penggerak kepada gol ketiga pasukan negara apabila bijak melakukan hantaran untuk disudahkan Corbin Ong pada minit ke-67.

Malaysia menambah derita Vietnam menerusi gol keempat hasil jaringan Dion Cools pada minit ke-88.

Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia menerajui Kumpulan F dengan enam mata hasil dua kemenangan, Vietnam di tempat kedua dengan tiga mata.

Laos pula di kedudukan ketiga juga dengan tiga mata dan Nepal di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Scroll to Top