bhsukan@bh.com.my
KOLUM APABILA PENYOKONG BERSUARA
Lupakan detik kekalahan 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu. Ayuh bangkit kembali skuad Harimau Malaya. Kita masih belum boleh angkat bendera putih kerana masih ada dua perlawanan penting selepas ini.
Pertemuan menentang Vietnam dan Thailand adalah medan untuk pemain skuad kebangsaan bangkit kembali selepas kekalahan mengecewakan bertemu tuan rumah di Stadium Zabeel, Dubai minggu lalu.
Melihat rekod lalu, Malaysia menang enam dari 21 pertemuan terakhir menentang Vietnam manakala rekod pertemuan pasukan Malaysia bertemu pasukan Thailand jelas lebih memihak kepada pasukan negara.
Kali terakhir skuad Harimau Malaya menang keatas pasukan Vietnam adalah pada 11 Disember 2014. Keputusan 4-2 itu adalah ketika saingan Kejohanan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF). Jelas sehingga kini, hampir tujuh tahun skuad negara kemarau kemenangan ke atas Vietnam.
Jadi dengan ini, tiada alasan lagi buat skuad Tan Cheng Hoe untuk bermain sambil lewa dalam dua pertemuan akan datang kerana bertemu Vietnam dan Thailand, dilihat lebih mudah jika dibandingkan bertemu UAE.
Malaysia bakal bertemu Vietnam pada tengah malam Sabtu ini manakala Thailand pada 16 Jun. Jadi Cheng Hoe mempunyai masa untuk menganalisis setiap kelemahan yang ada terhadap dua lawan berkenaan.
Beri ruang dan peluang kepada pemain yang menunjukkan aksi yang terbaik dalam sesi latihan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.
Jadi dengan rehat yang panjang ini juga, diharapkan pemain dapat gunakan ia sebaik mungkin untuk mengembalikan semangat dan keyakinan semula bagi mendapatkan momentum kemenangan selepas ini.
Untuk pemain skuad Harimau Malaya, bermainlah demi lencana di dada terutama pemain naturalisasi. Jangan hanya ingin dapatkan status kewarganegaraan untuk kepentingan sendiri tetapi berilah sesuatu positif buat negara tercinta ini.
Dan buat semua penyokong skuad Harimau Malaya yang setia, ayuh teruskan sokongan buat pemain negara. Jangan bersorak ketika menang tapi tak mampu menyokong ketika kalah. Ayuh doakan yang terbaik buat skuad negara. Selamanya Harimau Malaya .
*Penulis adalah penyokong tegar Harimau Malaya
© New Straits Times Press (M) Bhd




