sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya membuktikan taring mereka cukup berbisa apabila mengikat pasukan di ranking 72 dunia Cape Verde dalam perlawanan persahabatan Tier 1, sebentar tadi.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu menyaksikan skuad kendalian Peter Cklamovski dilihat mampu memberikan saingan sengit kepada pihak lawan dengan melakukan serangan berbahaya bagi mencari gol pembukaan.
Namun, skuad kebangsaan ternyata tersentak dengan jaringan awal lawan menerusi Sidney Cabral seawal minit kesembilan untuk kedudukan 0-1.
Cape Verde yang diketuai jurulatih Pedro ‘Bubista’ Brito hanya memerlukan sembilan minit untuk membuka tirai jaringan menerusi Sidny Cabral, yang bijak menyudahkan peluang hasil kesilapan barisan pertahanan negara.
Harimau Malaya hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-13 menerusi larian solo Gabriel Palmero, namun rembatannya sedikit tersasar dari gawang.
Usaha Arif Aiman Hanapi juga hampir membuahkan hasil apabila percubaannya pada minit ke-19 tepat ke dakapan penjaga gol lawan, Josimar Dias.
Trio serangan negara diketuai Arif, Palmero dan Faisal Halim beberapa kali berjaya mencipta ruang, namun penyudah yang kurang kemas menggagalkan misi mencari gol penyamaan.
Cape Verde yang sesekali melancarkan serangan balas pantas turut hampir menambah jaringan, namun kecekapan Ahmad Syihan Hazmi di gawang negara berjaya menafikan beberapa percubaan berbahaya.
Memasuki babak kedua menyaksikan Cklamovski membuat sekurang-kurangnya enam tukaran pemain untuk menghidupkan jentera serangan dan memperkukuhkan barisan pertahanan.
Jurulatih Harimau Malaya memasukkan Paulo Josue, Endrick Dos Santos, Stuart Wilkin, Shahrul Saad Quentin Chen dan Corbin Ong untuk memperkuatkan pasukan.
Ternyata keputusan terbabit membuahkan hasil apabila sentuhan pertama Josue berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit 80.
Gol terbabit ternyata meniup semangat pemain Harimau Malaya untuk menghasilkan gol apabila kerap melakukan siri serangan berbahaya ke kubu lawan namun penyudah tumpul gagal untuk merekodkan sebarang jaringan tambahan.
Kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan skuad Harimau Malaya boleh dianggap sama taraf dengan pasukan dari Afrika terbabit.
Skuad Harimau Malaya akan bertemu kembali Cape Verde pada 3 Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil namun perlawanan terbabit diadakan secara tertutup.
© New Straits Times Press (M) Bhd