Harimau Malaya jatuh ke-135 dunia, KBS mahu reformasi segera FAM

Harimau Malaya jatuh ke-135 dunia, KBS mahu reformasi segera FAM

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) segera mengambil langkah sewajarnya susulan kemerosotan ranking Harimau Malaya selain menegaskan reformasi menyeluruh perlu dilaksanakan demi memulihkan semula imej bola sepak negara.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari berkata, pihaknya mengambil maklum ranking terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang menyaksikan skuad kebangsaan jatuh 14 anak tangga daripada kedudukan ke-121 ke tangga ke-135 dunia.

Menurutnya, perkembangan itu berpunca daripada keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang membatalkan dua kemenangan Malaysia dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 ke atas Vietnam dan Nepal susulan isu pemain warisan yang melanda skuad kebangsaan.

“Saya turut merasai kekecewaan rakyat Malaysia, khususnya peminat bola sepak tempatan berhubung penurunan ranking ini, serta kontroversi yang melanda skuad kebangsaan sejak beberapa bulan lalu.

“Semua pihak harus mengambil iktibar daripada perkara ini dan perkasakan bola sepak tanah air perlu terus diperhebat. Saya berharap langkah-langkah wajar akan diambil agar perkara seumpama ini tidak berulang lagi pada masa akan datang,” katanya menerusi kenyataan rasmi susulan situasi semasa yang membelenggu Harimau Malaya.

Selain itu, Taufiq menegaskan KBS kekal dengan pendirian untuk tidak campur tangan dalam urusan pengurusan FAM, namun akan terus memainkan peranan memperkasa pembangunan bola sepak tempatan.

Katanya, menerusi Majlis Sukan Negara (MSN), KBS akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan bakat menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bersama FAM sebagai rakan strategik.

“Pembangunan bola sepak, terutama di peringkat akar umbi, perlu diteruskan dan saya menggesa semua rakyat Malaysia supaya terus memberikan sokongan kepada sukan ini.

“Pada masa sama, KBS akan terus mengadakan sesi libat urus berkala dengan FAM untuk mendapatkan maklum balas mengenai strategi mereka bagi mengelakkan kejatuhan ranking yang lebih lanjut,” katanya.

Beliau turut menjelaskan perubahan sistem ranking FIFA ketika ini menyaksikan kedudukan pasukan dikemaskini secara langsung setiap kali aksi antarabangsa berlangsung, berbanding pengumuman mengikut tempoh tertentu sebelum ini.

Selain itu, beliau berharap semua pihak dapat memberi ruang kepada FAM dengan bantuan AFC untuk mengenal pasti dan melaksanakan reformasi dalaman yang perlu, termasuk mengadakan kongres bagi memilih barisan kepimpinan baharu.

Tambahnya, KBS tidak terbabit dalam proses itu, namun menerusi Pejabat Pesuruhjaya Sukan akan terus memantau kepatuhan pengurusan FAM terhadap peruntukan perlembagaannya serta Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top