
Sekitar sesi latihan skuad bola sepak negara menjelang perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 di Wisam FAM pada Ahad.
SKUAD Harimau Malaya mahu meneruskan momentum menumpaskan pasukan di ranking lebih tinggi apabila menentang pasukan ke-110 dunia, Tajikistan, di pentas final Pestabola Merdeka 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.
Biarpun berada di ranking ke-134, skuad Harimau Malaya mengejutkan pasukan ranking ke-102 dunia, India dengan keputusan 4-2, Jumaat lalu, untuk mara ke final.
Sebelum itu, dalam usaha memperbaiki ranking dunia, skuad bimbingan Kim Pan Gon telah seri 2-2 dengan Syria (93) dan 1-1 dengan China (80) dalam perlawanan persahabatan antarabangsa, bulan lalu.
Pemain tengah, Stuart Wilkin berkata, selain merangkul gelaran juara Pestabola Merdeka, perlawanan menentang Tajikistan juga merupakan peluang untuk membalas dendam atas kekalah 0-3 melalui sepakan penalti selepas seri tanpa jaringan pada final Piala Raja Thai di Chiang Mai, Thailand, tahun lalu.



