Harimau Malaya mengaum, jawapan kepada keraguan!

Harimau Malaya mengaum, jawapan kepada keraguan!
Barisan pemain, jurulatih dan pegawai pasukan Harimau Malaya meraikan kejayaan ke atas Vietnam pada Selasa lalu. Gambar kecil: Afizal

Barisan pemain, jurulatih dan pegawai pasukan Harimau Malaya meraikan kejayaan ke atas Vietnam pada Selasa lalu. Gambar kecil: Afizal

KEJAYAAN cemerlang skuad Harimau Malaya menundukkan gergasi Asia Tenggara, Vietnam, disifatkan sebagai petanda jelas bahawa transformasi bola sepak negara berada di landasan yang tepat.

Malah, penganalisis sukan tempatan, Afizal Abu Othman, menyeru agar segelintir komuniti bola sepak yang kurang bersetuju dengan idea Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, melihat semula dari sudut positif terhadap pencapaian yang dilakar skuad Harimau Malaya pada Selasa lalu.

“Sejujurnya, bagi segelintir komuniti bola sepak yang tidak begitu menggemari idea Tunku Mahkota Ismail, adalah perlu untuk melihat dari sudut positif pencapaian skuad Harimau Malaya, dan menerima proses ini selagi tidak melanggar peraturan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa),” katanya kepada Sukan Sinar.

Pada masa sama, Afizal, yang juga Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya (UM), berpendapat bahawa pendekatan merekrut lebih ramai pemain warisan wajar diteruskan selagi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh FIFA.

“Saya bersetuju dengan cetusan idea Tunku Mahkota Ismail kerana kita dapat menyaksikan betapa rakyat, khususnya penyokong setia bola sepak Malaysia, begitu dahagakan kemenangan terutama apabila berhadapan dengan lawan yang memiliki ranking lebih tinggi serta merupakan musuh tradisi di rantau ASEAN.

“Kita ambil contoh Jepun sebelum ini, mereka semakin cemerlang dengan kehadiran pemain warisan atau naturalisasi, dan kini berada dalam ranking terbaik dunia serta tidak pernah terlepas daripada temasya Piala Dunia.

“Percaya atau tidak, kita sedang menuju ke arah itu, meskipun jiran terdekat kita, Indonesia, kini lebih ke hadapan dalam proses transformasi bola sepak mereka,” ujar Afizal.

Scroll to Top