ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Aksi persahabatan Tier 2 hari ini menyaksikan skuad Harimau Malaya hanya mencatat keputusan seri 1-1 dengan kelab New Zealand, Auckland FC yang baru ditubuhkan enam bulan lalu.
Skuad kendalian Pau Marti Vicente menampilkan beberapa pemain utama termasuk kapten pasukan, Matthew Davies, Syihan Hazmi, dan Nooa Laine, dengan harapan mampu mencari kemenangan pembakar semangat sebelum berdepan New Zealand minggu depan.
Menurut Vicente, mereka berdepan sebuah kelab yang bagus walaupun baru ditubuhkan untuk beraksi di liga utama Australia.
“Aksi yang sama kita jangkakan apabila berdepan New Zealand nanti di mana permainan tertumpu kepada kekuatan fizikal, laju dan berintensiti tinggi,” katanya selepas tamat perlawanan di Stadium Go Media, Auckland.
Ujarnya, selepas melepaskan gol pendahuluan tuan rumah anak buahnya kembali memberi tentangan sengit.
“Saya gembira dengan komitmen semua pemain termasuk sembilan pemain yang dimasukkan pada babak kedua. Ramai pemain yang beraksi 45 minit dan ia adalah ujian terbaik sebelum berdepan New Zealand Isnin ini,” katanya.
Babak pertama memperlihatkan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, tetapi Auckland terlebih dahulu mencetak gol melalui pertahanan kiri mereka, Francis de Vries, pada minit ke-25.
Memasuki separuh masa kedua, Harimau Malaya semakin bersemangat dalam usaha mencari jaringan penyamaan. Usaha mereka membuahkan hasil apabila Nooa, iaitu tonggak utama Selangor FC, meledak gol penyamaan pada minit ke-59, sekali gus mengembalikan harapan buat pasukan kebangsaan mencari kemenangan.
Walaupun kedua-dua pasukan berusaha keras untuk menambah jaringan, masa tambahan dua minit tidak mengubah keputusan, menyaksikan perlawanan berakhir dengan seri 1-1.
Peluang diberikan kepada beberapa pemain muda seperti Azam Azmi Murad, Harith Haiqal Adam Afkar, Haqimi Azim Rosli dan Feroz Baharudin, untuk membuktikan kemampuan mereka sekali gus memikat Vicente.
Namun, ujian sebenar bagi Harimau Malaya adalah berdepan berdepan New Zealand pada 14 Oktober 2024, selepas 18 tahun kedua-dua pasukan tidak bertemu sesama sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




