mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan kebangsaan kemungkinan menyertai Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2024 tanpa kehadiran tonggak utama termasuklah pemain Johor Darul Ta’zim (JDT).
Walaupun tiada pengesahan rasmi mengenai perkara itu, namun ‘panggilan pulang’ tiga pemain utama terdiri daripada Arif Aiman Hanapi, Matthew Davies dan Feroz Baharudin daripada menyertai perlawanan persahabatan menentang India pada lusa seolah memberi gambaran sebenar skuad Harimau Malaya di Piala AFF 2024.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan pengumuman rasmi mengenai senarai akhir pemain yang akan beraksi di kejohanan AFF 2024 akan diumumkan pengendali Harimau Malaya Pau Marti Vicente pada minggu depan.
“Untuk perlawanan di Hyderabad, jurulatih (Pau Marti Vicente) akan panggil pemain yang akan beraksi di Piala AFF nanti.
“Kemungkinan(Arif Aiman, Matthew Davies dan Feroz)..benda itu kita tunggu apa yang Pau Marti akan umumkan nanti,” katanya, ketika ditemui pada pelancaran produk Pablo Dollah oleh bekas pemain kebangsaan Datuk Dollah Salleh, di sini.
Terdahulu, Arena Metro melaporkan nasib skuad Harimau Malaya pada perlawanan persahabatan menentang India oleh dikatakan sudah diketahui apabila tiga tonggak utama dipanggil pulang bagi mengharungi aksi Piala Malaysia bermula minggu depan.
Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan bahawa tiga pemain terbabit dilepaskan pulang ke tanah air berikutan permohonan daripada kelab mereka, JDT.
Mengikut rekod, Harimau Malaya menepati ramalan apabila berjaya memastikan kemenangan 3-1 ke atas Laos pada di Stadium PAT, Bangkok, Khamis lalu.
Perlawanan persahabatan ini cukup penting buat skuad Harimau Malaya dalam rangka persiapan menghadapi kejohanan Piala AFF 2024 selain akan mengharungi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac tahun depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd