
Josue. Foto Football Association of Malaysia
PEMAIN skuad bola sepak kebangsaan Paolo Josue melaungkan amaran awal tidak gentar berhadapan Jordan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E Piala Asia 2023 di Doha, Qatar pada 16 Januari ini.
Sebaliknya, pemain berusia 34 itu menegaskan skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon sudah bersedia mental dan fizikal memberikan cabaran kepada pasukan Asia Barat tersebut.
“Jordan adalah lawan yang kuat tetapi jurulatih sudah memberikan banyak maklumat mengenai Jordan. Ada titik kelemahan yang mungkin kami akan gunakan terhadap mereka.
“Kami berada di sini untuk cuba mengejutkan lawan. Mungkin jika mereka bertemu kami dalam keadaan terlalu yakin, kami boleh mengejutkan mereka. Jadi kami hanya perlu tumpuan dan melaksanakan tugas kami,” katanya dalam satu klip audio yang dikongsikan kepada media pada Ahad.


