Harimau Malaya tak goyang berdepan UAE

SKUAD Harimau Malaya sudah bersedia berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi keenam Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel, Dubai pada tengah malam ini.

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, beliau optimis para pemainnya mampu untuk menyekat kemampuan pasukan tuan rumah selain menghadirkan keputusan positif dalam perlawanan tersebut.

“Kita tahu UAE sedang berada pada tahap terbaik dengan mereka memperkuatkan pasukan dengan tiga pemain naturalisasi. Statistik jaringan gol dalam dua perlawanan persahabatan juga nampak mereka ada kelebihan.

“Malah, mereka juga akan beraksi di laman sendiri selain penyokong mereka juga boleh hadir ke stadium untuk memberikan sokongan.

“Namun, kami juga akan bersedia sepenuhnya menyerap semua tekanan ini selain kena terus fokus dan perlu bermain dengan cara kami untuk cuba mendapatkan keputusan yang positif,” katanya dalam sidang media secara maya pada Rabu.

Atas kertas, UAE dilihat mempunyai kelebihan selepas membuat persiapan rapi untuk menghadapi baki aksi kelayakan itu dengan keputusan dua perlawanan persahabatan menyaksikan mereka membelasah India 6-0 dan Jordan 5-1.

Malah, mereka juga diperkuat tiga pemain naturalisasi – Fabio Lima, Caio Canedo dan Sebastian Tagliabue selain kelibat penyerang berbisa, Ali Ahmed Mabkhout yang sedang berada pada tahap terbaiknya ketika ini.

Namun, situasi berbeza diharungi Harimau Malaya yang kekurangan waktu mencukupi untuk melakukan persiapan selain turut tewas dua aksi persahabatan – masing-masing kepada Kuwait (1-4) dan Bahrain (0-2) sebelum ini.

Dalam masa sama, Cheng Hoe menyedari rekod kunjungan terakhir ke UAE dalam aksi kelayakan Piala Dunia pada September 2015 menyaksikan Harimau Malaya dibelasah 0-10 – kekalahan besar dalam sejarah bola sepak Malaysia.

“Sejarah kalah 10-0 itu sejarah yang lalu. Kali ini kami hadir dengan dengan pemain dan situasi yang berbeza. Saya yakin kita mampu menyekat serangan UAE.

“Dalam masa sama, kami kena turun ke padang dengan keyakinan dan fokus selain bermain sebagai satu unit ketika menyerang dan bertahan,” ujarnya.

Berdasarkan rekod 14 pertemuan sejak 1980, Malaysia hanya menang dua perlawanan, tewas 11 kali dan kekalahan terbaharu dalam aksi kelayakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada September 2019.