firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya seharusnya tidak berdepan masalah besar menundukkan Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Selasa ini sekiranya nilai pasaran pasukan diambil kira.
Berdasarkan tanda harga setiap pemain khususnya babitkan bayangan kesebelasan utama, skuad negara kendalian Peter Cklamovski merekodkan nilai tertinggi berbanding skuad Naga Emas seperti mana yang tertera di laman sesawang Transfermarkt.
Kehadiran lima tonggak warisan baharu skuad Harimau Malaya menyaksikan nilai pasaran kesebelasan utama melonjak sehingga RM48.3 juta dengan pemain sayap berdarah Argentina-Malaysia, Imanol Machuca mencatatkan tanda harga tertinggi sekitar RM12 juta.
Pemain kedua tertinggi pula direkodkan oleh penyerang kelab Istanbul Basaksehir, Joao Figueiredo yang memiliki darah campuran Brazil-Malaysia dengan nilai RM10 juta diikuti tonggak pertahanan kelahiran Argentina, Facundo Garces pada harga RM5.8 juta.
Ketua pasukan negara, Dion Cools yang baharu menyertai kelab Jepun Cerezo Osaka pula berada di tangga keempat pada tanda harga RM4.8 juta disusuli dua lagi tonggak warisan baharu, Rodrigo Holgado (RM3.8 juta) dan Jon Irazabal (RM3.1 juta).
Selebihnya seperti Arif Aiman Hanapi, Hector Hevel, Endrick dos Santos, Syihan Hazmi masing-masing merekodkan RM1 juta ke RM2 juta dengan Corbin Ong muncul pemain dalam jangkaan kesebelasan utama paling rendah sekitar RM847,492 sahaja.
Situasi berkenaan jelas menggambarkan kekuatan pasukan negara yang berada pada kelas tersendiri berbanding Vietnam yang sekadar merekodkan tanda harga sejumlah RM28.2 juta.
Menurut ejen terkemuka rantau Asia Tenggara, Effendi Jagan Abdullah, statistik harga sememangnya boleh memberi gambaran awal tentang kelebihan sesebuah pasukan.
Bagaimanapun, Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd itu menegaskan bahawa anak buah Cklamovski tidak boleh mendabik dada dan bergantung harap semata-mata dengan nilai berkenaan kerana ia boleh menjerat pasukan.
“Nilai tinggi tak bermakna bagus tetapi ia seolah bagi bayangan kepada kekuatan pasukan. Ramai pemain warisan yang sudah di bawa masuk khususnya dari Amerika Latin, namun nilai mereka sebenarnya tidaklah terlalu tinggi cuma apabila dibandingkan dengan rantau Asia atau Asean nampak nilai mereka agak tinggi.
“Kalau kita lihat pemain seperti Machuca nilainya agak tinggi pada harga RM12 juta. Tapi adakah dia pernah main di peringkat antarabangsa bersama skuad kebangsaan Argentina?. Nilai mereka nampak tinggi di rantau ini tapi di Amerika Latin nilai ini bukan luar biasa.
“Atas kertas dari nilai pasaran nampak memang kita tinggi dan sepatutnya kita boleh menang,” katanya kepada Arena Metro.
Skuad negara kini dalam laluan memburu slot ke Piala Asia 2027 dan kemenangan ke atas Vietnam bakal mengukuhkan kedudukan pasukan dalam Kumpulan F selepas menang 2-0 ke atas Nepal dalam aksi pertama Mac lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd