PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Harimau Malaya tidak akan beraksi pada saingan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang akan berlangsung bulan depan.
FAM dalam satu kenyataan berkata, perubahan terkini terhadap tarikh penganjuran yang jatuh di luar jendela antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah menimbulkan cabaran besar dari sudut logistik, ketersediaan pemain, dan tahap kesiapsiagaan skuad secara keseluruhan.
“Tarikh baharu kejohanan yang dikemas kini selepas undian rasmi dilakukan, iaitu dari 29 Ogos hingga 8 September, kini bermula di luar kalendar rasmi FIFA.
“Perubahan tarikh yang berlaku pada saat akhir ini memberikan cabaran segala aspek kepada skuad kebangsaan, memandangkan kelab-kelab tidak mempunyai kewajipan untuk melepaskan pemain mereka.
“Situasi ini secara langsung menjejaskan usaha kami untuk membentuk skuad terbaik bagi kejohanan tersebut, lebih-lebih lagi apabila beberapa pemain utama kami beraksi di liga-liga utama seperti Sepanyol, Argentina, Colombia dan Jepun,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, skuad negara telah diundi dalam Kumpulan Kumpulan B bersama pasukan ranking ke-18 dunia Iran Tajikistan (ranking ke-104 dunia) dan Afghanistan (ke-160).
Dalam pada itu, pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski berkata, keutamaan kepada tahap kecergasan pemain dititikberatkan apatah lagi tidak realistik untuk membawa para pemain terbang ke Tajikistan dalam masa singkat.
“Kita memiliki pemain yang beraksi di liga terkemuka dunia seperti Sepanyol, Argentina, Colombia & Jepun.
“Untuk membawa mereka ke Tajikistan dalam masa yang singkat serta memastikan mereka bersedia beraksi pada tahap tertinggi adalah tidak realistik dalam jendela ini.
“Selain itu, isu logistik, keperluan pemulihan pemain, serta implikasi terhadap bajet keseluruhan turut menjadi faktor penting.
“Saya tidak mahu menjejaskan kebajikan serta kondisi pemain atau menyertai kejohanan dengan skuad yang tidak lengkap.
“Ini adalah satu keputusan yang tepat dan strategik. Fokus kami kini beralih sepenuhnya kepada kem latihan pada jendela September sebagai persiapan terbaik menjelang aksi penting pada Oktober dan November, perlawanan menentang Laos dan Nepal,” katanya.
Sebagai langkah alternatif, skuad kebangsaan akan melaksanakan kem latihan penuh di Kuala Lumpur pada bulan September.
Kem ini akan menjadi platform utama dalam memperkukuhkan persiapan menjelang Pusingan Kelayakan Piala Asia.