Harimau merayau di Peria, Kuala Krai palsu

Harimau merayau di Peria, Kuala Krai palsu

KUALA KRAI: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor Kelantan mengesahkan dakwaan terdapat seekor harimau berkeliaran di Blok Kadok, Peria di sini adalah palsu.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, gambar pak belang yang tular menerusi aplikasi WhatsApp penduduk itu bukanlah di kawasan tersebut sebaliknya gambar lama.

“Itu gambar lalu di salah sebuah kawasan di negeri ini dan ia berita palsu. Saya berharap orang ramai tidak mudah mempercayai sebarang hantaran yang tidak sahih.

“Saya harap penduduk dapat menyemak dulu kebenaran fakta sebelum berkongsi bagi menggelakan situasi panik dalam kalangan penduduk,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Terdahulu tular sekeping gambar mendakwa seekor harimau berkeliaran di kawasan Blok Kadok, Sungai Peria berhampiran jalan masuk ke kebun getah Allahyarham Tok Imam Him.

Sementara itu tinjauan di Blok Kadok Peria mendapati rata-rata penduduk memberitahu mereka menangguh seketika aktiviti masuk ke kebun sejak gambar itu tular sejak Sabtu lalu.

Seorang penduduk Bongsu Majid, 72, berkata, dia dan isteri berbuat demikian kerana bimbang soal keselamatan semasa ke kebun.

Katanya, sepanjang menetap di sini dia belum pernah terserempak dengan pak belang.

“Setakat hari ini kami belum lagi ke kebun untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Saya akui penduduk di sini hanya terserempak dengan beruang matahari sahaja, itu membuat kami gerun,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Esah Mamat, 75, berkata, rata-rata pelanggan yang berkunjung ke kedai kopi miliknya memberitahu ada menerima hantaran gambar harimau terbabit.

“Tiga hari ini kecoh bila penduduk bimbang hendak keluar menoreh dan ke kebun. Bagaimanapun, ada pelanggan yang kata kejadian itu bukan di sini mengambil kira keadaan gambar itu.

“Namun mereka tetap memilih untuk berhati-hati bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

170725-Klt-Harimau Palsu

ESAH Mamat bersama abangnya semasa ditemui di kedai kopi miliknya di Kampung Peria, Kuala Krai, Kelantan hari ini-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.

-habis-

Scroll to Top