sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) bermula langkah kanan selepas mencatat kemenangan 4-1 ke atas Laos dalam perlawanan pertama Kumpulan B Sukan Sea Thailand yang berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok, sebentar tadi.
Namun, anak buah Nafuzi Zain dikejutkan terlebih dahulu melalui serangan balas pantas pasukan Laos menerusi Bounphaeng Xaysombath yang memanfaatkan ruang terbuka di dalam kotak penalti untuk meletakkan mereka di depan 1-0 seawal minit keempat.
Jaringan yang dicari akhirnya muncul apabila Haykal Danish bijak mengambil kesempatan terhadap kesilapan pertahanan lawan yang gagal mengeluarkan bola sebelum menolak masuk untuk menewaskan penjaga gol Laos, untuk menyamakan kedudukan 1-1 minit ke-33.
Pemain negara seperti mendapat semangat baharu apabila terus menyusun serangan dan usaha itu membuahkan hasil apabila Haqimi Rosli meletakkan Malaysia mendahului 2-1 pada minit ke-59.
Selang tiga minit kemudian, pemain pertahanan, Moses Raj terus mengukuhkan kedudukan Malaysia selepas tidak dikawal rapat oleh pertahanan Laos sebelum menanduk masuk gol ketiga negara.
Anak buah Nafuzi terus ghairah mencari gol keempat dan Abu Khalil bijak menyempurnakan jaringan pada minit ke-90 untuk memastikan kemenangan besar 4-1, sekali gus memberi kelebihan gol menjelang aksi kedua menentang Vietnam Khamis nanti.
Kemenangan itu membolehkan Malaysia dan Vietnam kini berkongsi tiga mata namun Harimau Muda berada di depan dengan kelebihan jaringan selepas Vietnam mencatat kemenangan 2-1 ke atas Laos.
Kekalahan kedua berturut-turut menyaksikan Laos tersingkir daripada saingan temasya dwitahunan kali ini.
Aksi terakhir menyaksikan kelebihan kini berada di tangan skuad kendalian Nafuzi apabila mereka hanya memerlukan seri untuk muncul juara kumpulan sekali gus melangkah ke separuh akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




