Harimau Muda belasah Brunei 7-1

Harimau Muda belasah Brunei 7-1
Harimau Muda meraih tiga mata berharga selepas menundukkan Brunei. Foto: Malaysia NT

Harimau Muda meraih tiga mata berharga selepas menundukkan Brunei. Foto: Malaysia NT

SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) negara kembali menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan seterusnya apabila membelasah Brunei 7-1 dalam aksi kedua Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, di sini pada Jumaat.

Malaysia bermula garang apabila Muhammad Danish Syamer Tajuddin membuka tirai jaringan seawal minit ke-3 selepas menyambut hantaran lintang daripada Muhammad Harry Danish Mohd Haizon.

Hanya seminit selepas itu, giliran Muhammad Shafizan Mohamad Arshad mencipta gerakan yang menghasilkan gol kedua apabila percubaannya terkena pertahanan lawan, Mohd Nazry Aiman, sebelum bola menerjah jaring.

Dominasi Harimau Muda diteruskan apabila Harry Danish mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-31 selepas menyempurnakan hantaran daripada Danish Haqimi.

Empat minit sebelum tamat separuh masa pertama, gandingan satu-dua menarik antara Haqimi dan Danish Stamer disudahkan dengan rembatan Haqimi untuk meletakkan Malaysia di depan 4-0.

Bersambung babak kedua, Malaysia tidak mengendurkan serangan. Pada minit ke-69, Danish Haqimi Sahaludin terus menghukum Brunei dengan gol kelima hasil satu lagi serangan kemas.

Namun, kelalaian seketika di benteng pertahanan negara membolehkan Brunei meraih gol saguhati menerusi Haziq Naqiuddin pada minit ke-74.

Seminit kemudian, pemain gantian, Fergus Tierney menambah jaringan keenam dan Haqimi meledak gol kedua peribadinya pada penghujung perlawanan untuk kemenagan besar Harimau Malaya.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia kembali membuka peluang untuk mara ke peringkat seterusnya, namun perlu berdepan misi sukar menentang tuan rumah, Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan yang dijangka menjadi penentu nasib skuad negara.

Scroll to Top