Harimau Muda benam Laos, tetap gagal ke Piala Asia

PETALING JAYA: Kemenangan 2-1 ke atas Laos dalam aksi terakhir Kelayakan Piala Asia B-20 malam tadi ibarat kemenangan tanpa makna buat skuad B-20 negara apabila impian ke pusingan akhir di China tahun depan tetap berkubur.

Turun di Stadium Nasional Lao KM16, Vientiane, Laos, anak buah Shukor Adan akhirnya mencatat kemenangan sulung dalam tiga aksi Kumpulan H, namun tiga mata diraih itu tidak dikira dalam penentuan tujuh naib juara terbaik.

Ia susulan format pertandingan yang menetapkan keputusan menentang pasukan tercorot kumpulan tidak diambil kira, sekali gus menyebabkan Malaysia hanya mengumpul dua mata hasil dua keputusan seri sebelum ini.

Kedudukan itu menyaksikan skuad muda negara sekadar menghuni tangga kelapan keseluruhan dalam senarai naib juara kumpulan, sekali gus terlepas peluang untuk mengiringi Indonesia ke pentas Piala Asia B-20.

Malaysia sebelum ini terikat dengan Indonesia dan Australia dalam dua aksi terdahulu, manakala kemenangan ke atas Laos sepatutnya menjadi penutup manis buat kempen yang akhirnya tidak membawa skuad negara ke China.

Dalam aksi malam tadi, Malaysia membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi Haziq Aziz Ahyok Abdul Qayyum sebelum Fadhlul Hadi Zulkarnain menggandakan kelebihan pada minit ke-76.

Laos bagaimanapun enggan menyerah mudah apabila Odin Siphanit merapatkan jurang pada minit ke-60, namun tuan rumah gagal menghasilkan gol penyamaan sehingga wisel penamat.

Indonesia muncul juara Kumpulan H untuk mengesahkan tiket ke pusingan akhir di China tahun depan, manakala Australia yang juga juara edisi lalu terpaksa menerima hakikat tersingkir selepas hanya mampu menamatkan kempen di tempat ketiga.-UTUSAN

Scroll to Top