
Skuad Harimau Muda yang mengalas cabaran dalam Kelayakan Piala Asia B-23 di Thailand bulan depan. Foto Malaysia NT
PENGENDALI skuad bola sepak bawah 23 tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain mengesahkan tiada ‘kejutan’ pemain warisan baharu yang akan menyertai skuad muda negara pada saat-saat akhir untuk menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia B-23 di Thailand bulan depan.
Menurutnya, pasukan akan terus mempertaruhkan pemain tempatan bagi membawa cabaran negara dalam usaha layak diri ke pusingan akhir kejohanan tersebut.
“Setakat ini, tiada pemain warisan yang akan menyertai pasukan B-23. Semuanya pemain tempatan akan dipertaruhkan pada kempen kelayakan kali ini,”katanya.
Sebelum ini, skuad dibimbing Nafuzi itu turut menggunakan semua pemain tempatan pada kempen Piala ASEAN B-23 yang berlangsung di Indonesia baru-baru ini.
Namun, kejohanan itu menyaksikan Harimau Muda terpaksa pulang awal selepas mengakhiri saingan kumpulan di kedudukan ketiga sekali gus gagal layak ke pusingan seterusnya.
Mengharungi kempen Kelayakan Piala Asia di Thailand itu, peminat menyifatkan perlunya sentuhan pemain warisan apatah lagi Malaysia berada dalam kumpulan sukar bersama Thailand dan Lubnan.
Dalam pada itu, Nafuzi mengakui keadaan pemain lebih bersedia dan dalam keadaan baik berbanding ketika dipanggil pada Piala ASEAN B-23 baru-baru ini.
“Kali ini, apa yang saya nampak keadaan pemain agak bersedia dari segi fizikal berbanding sebelum ini di Piala ASEAN apabila kita panggil ketika musim liga belum bermula,” katanya.
Skuad Harimau Muda mengharungi kem latihan selama 13 hari di Bangkok bermula Isnin sehingga 31 Ogos ini yang turut meliputi dua aksi persahabatan menentang Kuwait dan Oman.
Selepas itu, mereka yang diundi dalam Kumpulan F akan membuka tirai menentang Lubnan pada 3 September, diikuti aksi bertemu Mongolia (6 September) sebelum menutup saingan menentang tuan rumah Thailand di Stadium True BG, Pathum Thani, Thailand pada 9 September.