Harimau Muda mara ke final Kejuaraan ASEAN B-17

Harimau Muda mara ke final Kejuaraan ASEAN B-17
Harimau Muda mara ke final Kejuaraan ASEAN B-17

Skuad negara mara ke pentas final selepas menewaskan Laos 3-0. – FOTO: FAM

SKUAD bola sepak bawah 16 tahun (B-16) negara mengesahkan tempat di perlawanan akhir Kejuaraan ASEAN B-17 selepas berjaya menewaskan Laos 3-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Gelora Delta, Sidoarjo, Indonesia pada Rabu.

Kejayaan itu menyaksikan anak buah Shukor Adan akan menanti pemenang antara aksi Vietnam dan Australia dalam satu lagi aksi separuh akhir yang akan berlangsung sebentar lagi.

Dalam aksi tersebut, Laos terpaksa berdepan laluan sukar seawal minit kelima apabila pemain pertahanannya, Bounthasak Chandala dilayangkan kad merah oleh pengadil selepas menyiku pemain negara, Yusuf Nasrullah Ramli dalam kotak penalti.

Yusuf yang menggalas tanggungjawab mengambil sepakan penalti melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol Laos, Sankham Thavithong untuk gol pembukaan negara.

Beraksi dengan kelebihan seorang pemain nyata memberi ruang buat skuad Harimau Muda mendominasi keseluruhan permainan dengan serangan bertali arus.

Hasilnya, gol kedua skuad negara hadir pada minit ke-11 menerusi Aniq Thaqif Hairulnizam yang bijak menyempurnakan peluang berpunca daripada situasi sepakan penjuru.

Malaysia berpeluang untuk menambah derita Laos sebelum tamat separuh masa pertama selepas sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti apabila Yusuf dikasari dalam kawasan penalti.

Bagaimanapun, pemain penyerang itu gagal menambah koleksi gol peribadinya apabila sepakannya itu berjaya dibaca dengan cemerlang oleh Thavithong yang tangkas menyelamatkan gawangnya.

Separuh masa kedua menyaksikan skuad negara tidak mengendurkan asakan dan hasilnya berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-57 menerusi Ahmad Muzakif Fitri Muhamad.

Kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat sekali gus memastikan Malaysia melangkah ke pentas final yang akan berlangsung pada Jumaat ini.

Scroll to Top