Harimau warisan: langkah strategik JDT demi bola sepak Malaysia

Harimau warisan: langkah strategik JDT demi bola sepak Malaysia

TIDAK adil untuk mempersoalkan tindakan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam merekrut pemain berdarah warisan.

Hal ini kerana, ia adalah satu langkah strategik yang bijak dan memberi impak berganda bukan sahaja kepada kelab itu, tetapi turut memperkasa skuad Harimau Malaya dan mengangkat mutu Liga Malaysia (Liga M) secara keseluruhan.

Empat pemain warisan yang kini menyarung jersi Harimau Selatan Hector Hevel, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan yang terbaharu, Nacho Mendez membuka lembaran baharu kepada pengendali kebangsaan, Peter Cklamovski, untuk merencana strategi dengan lebih banyak pilihan pemain berkualiti dan kompetitif.

Harimau warisan: langkah strategik JDT demi bola sepak Malaysia

Apa yang lebih menarik, semua pembangunan ini dilakukan tanpa melibatkan walau satu sen pun dana kerajaan.

JDT berdiri atas usaha sendiri, dibiayai melalui dana dalaman dan kerjasama komersial yang kukuh satu contoh ketelusan dan keupayaan pengurusan bola sepak yang jarang dilihat di rantau ini.

Di sebalik kebangkitan bola sepak negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, nama Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, tidak pernah terpisah daripada naratif negatif disebalik usahanya dalam memastikan bola sepak negara dipandang tinggi di peringkat antarabangsa.

Ramai mengenali baginda sebagai pemilik JDT, tetapi sumbangan baginda jauh melangkaui sempadan kelab, malah menjadi antara pemacu utama kepada transformasi bola sepak Malaysia.

Ketika dilantik sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2017, baginda memperkenalkan reformasi menyeluruh meliputi struktur teknikal, tadbir urus yang profesional dan pembangunan akar umbi yang sistematik.

Hasilnya, JDT bukan hanya menjadi kelab terbaik di Malaysia, malah model kelab profesional terkemuka di Asia Tenggara.

Fasiliti bertaraf antarabangsa seperti Stadium Sultan Ibrahim, padang latihan berkualiti Eropah, serta sistem analisis dan perubatan sukan moden menjadikan JDT pusat pembangunan pemain elit yang akhirnya mengalirkan manfaat langsung kepada skuad kebangsaan.

Tambahan pula, Tunku Mahkota Ismail turut membantu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam menaik taraf padang Stadium Nasional Bukit Jalil susulan isu permukaan padang yang meresahkan pemain ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2026.

Baginda menyumbang lebih RM1.4 juta, termasuk khidmat pakar luar negara, bagi memastikan kualiti padang selari dengan standard antarabangsa.

Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin, sendiri beberapa kali menegaskan bahawa Tunku Mahkota Ismail telah memberi impak besar terhadap pembangunan bola sepak tanah air.

HAMIDIN (kiri) bersama Tunku Mahkota Ismail.

Pemain-pemain warisan yang beraksi di JDT bukan sahaja memperkukuh skuad negara, tetapi juga mudah dipantau dan diselaraskan secara taktikal, kerana mereka bermain dalam sistem yang sama di peringkat kelab dan antarabangsa.

Lebih penting, pemain berkenaan sendiri memilih Malaysia dan JDT kerana yakin dengan potensi hala tuju bola sepak negara.

Jika JDT sedang melakar laluan ke Piala Dunia Kelab, tidak mustahil Harimau Malaya boleh tumpang naik ke Piala Dunia suatu hari nanti dan mencipta kejutan di Piala Asia 2027, selagi strategi ini diurus dengan bijak dan tidak disia-siakan.

Daripada terus berprasangka dan mencari salah, lebih baik kita bersyukur dan menyokong, kerana bukan semua kelab sanggup melabur besar tanpa mengharap bantuan kerajaan demi satu impian yang kita kongsi bersama melihat Malaysia kembali gah di pentas bola sepak antarabangsa.-UTUSAN

Scroll to Top