Harith Danial ungguli dua final, hadiahkan emas berganda

Harith Danial ungguli dua final, hadiahkan emas berganda

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Atlet Sarawak, Harith Danial Jefri, membuktikan keletihan bukan alasan apabila meraih dua pingat emas berturut-turut dalam final beregu campuran dan beregu lelaki jumbo Bawah 21 pada Sukan Sea Thailand di sini hari ini.

Tanpa rehat panjang, Harith Danial yang berpangkalan di Bristol terlebih dulu bergandingan bersama K Sehveetrraa untuk mengejutkan pilihan utama dari Filipina, Jonathan Reyes–Aerra Mae Relano, 11-5, 11-2 dalam masa 33 minit pada aksi final yang berlangsung jam 2 petang waktu tempatan.

Hanya sejam setengah kemudian, tepat jam 3.30 petang, Harith Danial sekali lagi turun ke gelanggang, kali ini berpasangan bersama Low Wa Sern, dan menumbangkan pilihan utama dari Filipina Christopher Buraga–Jonathan Reyes 11-4, 8-11, 11-5 bagi menghadiahkan emas kedua buat Malaysia.

Atlet berusia 19 tahun itu yang membuat penampilan sulung di Sukan Sea mengakui teruja dengan pencapaiannya selepas berjaya menyapu bersih dua emas dalam acara jumbo.

“Ini kali pertama saya beraksi dalam acara jumbo dan semua usaha latihan bersama Sehveetrraa serta Wa Sern membuahkan hasil. Saya berterima kasih kepada jurulatih kerana bukan mudah bermain dua final dalam tempoh singkat pada jam 2 petang dan 3.30 petang, namun kami berjaya menang kedua-duanya,” kata Harith.

Jurulatih kebangsaan, Nafiizwan Adnan, turut memuji prestasi Harith Danial, menyifatkan pencapaian itu sebagai sesuatu yang sukar dicapai.

“Bukan mudah bermain dua perlawanan penting dalam masa singkat. Ini juga kali pertama pemain kita beraksi dalam acara jumbo dan kami berjaya meraih dua emas.

“Sasaran seterusnya adalah untuk memburu emas acara individu lelaki dan wanita,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top