Hariz Hamdan minta izin Nelydia Senrose sebelum muat naik video

Hariz Hamdan minta izin Nelydia Senrose sebelum muat naik video

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Hariz Hamdan, 23, ambil pengajaran daripada insidennya yang tidak sengaja memeluk lengan Datin Nelydia Senrose ketika mereka menaiki kereta kabel di Langkawi baru-baru ini.

Menurut Hariz, 23, mendedahkan dia sudah mendapat kebenaran Nelydia sebelum memuat naik video berkenaan namun tidak sangka menimbulkan rasa kurang senang orang ramai sehingga tular.

“Sebelum memuat naik video itu di sosial media memang saya ada hubungi Nelydia. Saya menghormati statusnya sebagai isteri orang dan tanya adakah boleh kongsikan video itu. Dia kata tiada masalah.

“Tak sangka akan jadi kecoh, sejujurnya tiada sedikit pun niat nak cetuskan kontroversi. Saya hanya mahu kongsi detik melucukan, tidak lebih daripada itu.

“Ini adalah pengajaran untuk saya supaya lebih berhati-hati pada masa depan,” kata Hariz yang ditemui pada majlis pelancaran Asics Garden of Motion, baru-baru ini.

Menurutnya, video berkenaan dirakam pada minggu terakhir penggambaran drama Seindah Hujan Cinta.

Dalam pada itu, Hariz turut menegaskan hubungannya dengan Nelydia tidak lebih sebagai rakan sekerja dan boleh dianggap seperti kakak dan adik.

“Kami memang rapat selepas meluangkan masa bersama di set penggambaran. Video dalam kereta kabel itu diambil ketika minggu terakhir penggambaran.

“Saya menghormatinya macam kakak sendiri,” katanya.

Pelakon drama X-Change berkenaan memang mengakui khilafnya tidak berfikir panjang sebelum memuat naik video itu.

Justeru, dia berjanji akan lebih berhati-hati dengan segala tindakannya pada masa depan.

“Walaupun niat saya sekadar berkongsi momen lucu, mungkin ada pihak yang salah tafsir. Saya tidak salahkan mereka. Saya ingin memohon kemaafan sekiranya ada pihak terasa atau kurang senang,” katanya.

Terdahulu, duta Asics Malaysia itu memuat permohonan maaf secara terbuka selepas tular video memaparkan Nelydia tanpa sengaja memeluk lengannya ketika mereka menaiki kereta kabel di Langkawi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top