sukan@hmetro.com.my
Kuching: Gandingan Harleein Tan-V Haneesha muncul wira apabila menyumbang mata kemenangan untuk membantu Negeri Sembilan menewaskan Sarawak 3-2 pada aksi final skuasy berpasukan campuran Sukma Sarawak 2024, hari ini.
Kejayaan itu menyaksikan Negeri Sembilan menamatkan kemarau selama 14 tahun untuk memenangi emas Sukma sejak kali terakhir pada edisi 2010 di Melaka dalam acara berpasukan lelaki.
Terdahulu, Sarawak berada di depan menerusi kemenangan Altamis Aqhar Sallam Sufian-Eugenia David ke atas Isaac George Varughese Vivek-Yu Jie Chen 9-11, 11-7, 11-10 dalam acara beregu campuran.
Harith Danial Jefri-Desmond Ong melebarkan jurang buat Sarawak selepas mengatasi Qayyum Adam Khairul Hilmi-Shamiel Haeyzad Sharulhisam 11-10, 10-11, 11-4 dalam aksi beregu lelaki.
Bagaimanapun, Negeri Sembilan kembali bangkit menerusi C Ameeshenraj yang menang ke atas Jia Rong Hii 11-2, 11-4, 11-3 manakala Yasshmita Jadish Kumar menumpaskan Xin Yii Lee 11-4, 11-4, 11-3 masing-masing dalam aksi perseorangan lelaki dan wanita.
Mata kemenangan Negeri Sembilan disumbangkan gandingan muda, Harleein-Haneesha yang cemerlang menundukkan Whitney Isabelle Wilson-Nathalie Sim 11-6, 11-8 dalam beregu wanita, sekali gus memastikan emas buat pasukan itu.
“Kami sangat gembira kerana menang dalam perlawanan ini. Sebelum ini kami tewas kepada mereka ketika saingan individu.
“Jadi, pendekatan kami hari ini adalah untuk buat yang terbaik dan tidak mahu beri tekanan kepada diri sendiri. Rakan sepasukan banyak beri sokongan dan ia bagai mimpi apabila dapat membantu pasukan memenangi emas dalam penampilan pertama kami di Sukma,” kata Herleein.
Sementara itu, gangsa menjadi milik Kedah selepas menewaskan Wilayah Persekutuan 3-2 dalam aksi penentuan gangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




