Harrif sedia beraksi di velodrom semula

Harrif sedia beraksi di velodrom semula

bhsukan@bh.com.my

KUALA TERENGGANU: Jaguh berbasikal pecut lebuh raya negara, Harrif Saleh sedia untuk kembali beraksi dalam velodrom bagi mengintai peluang beraksi di Sukan Olimpik 2024 sekiranya mendapat restu dan ‘lampu hijau’ daripada Majlis Sukan Negara (MSN) serta Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM).

Malah, pelumba sensasi Terengganu Cycling Team (TSG) itu sedia keluar perbelanjaan sendiri selain melaungkan keyakinan mampu menjadi pencabar utama kejohanan dalam dewan itu jika diberi peluang kedua selain latihan yang mencukupi sebagai persediaan menjelang temasya sukan terbesar dunia itu.

Bagaimanapun Harrif yang muncul pelumba pertama negara menjuarai Jelajah Eropah pada kejohanan berstatus 1.2 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang berlangsung di Alanya, Turki pada Februari lalu juga bersedia untuk mengerah kudrat dalam acara lebuh raya jika diberi peluang beraksi pada pentas sukan terbesar dunia di Perancis itu.

Sebelum beralih dalam acara lebuh raya bermula 2010, anak kelahiran Kuala Terengganu itu adalah bekas pelumba trek dan pernah berlatih dan berkelana di Melbourne, Australia bersama Datuk Azizulhasni Awang bawah kendalian John Beasley.

“Saya rindu untuk berkayuh dalam velodrom selepas kali terakhir bersama Datuk Azizulhasni pada 2010, saya sedia berlatih, lagipun dengan usia 33 tahun sama usia dengan Jijoe, pengalaman saya mampu untuk menghadiahkan sesuatu yang bermakna buat negara jika diberi peluang beraksi di pentas Olimpik 2024.

“Jika diberi pilihan saya mahu beraksi dalam acara omnium, jika diberi tugas itu saya sanggup mengeluarkan duit poket sendiri untuk beraksi pada Sukan Olimpik itu, mungkin sebelum saya gantung basikal, itu peluang terbaik buat saya beraksi di pentas itu,” katanya ketika ditemui di kedai kopi abangnya, Zamri semalam.

Harrif yang juga bekas pemenang enam pingat emas sepanjang menyertai Sukan SEA berkata, dia hampir beraksi di pentas Olimpik pada 2012 di London dalam acara lebuh raya sebelum namanya diketepikan walaupun sudah memungut mata yang mencukupi ke temasya itu.

“Sebenarnya saya sudah layak ke pentas Olimpik pada 2012, tapi saya reda kerana tidak terpilih mewakili negara, mungkin bukan rezeki saya ketika itu walaupun perasaan begitu teruja untuk mengibarkan bendera Malaysia.

“Jadi dengan masa berbaki kira-kira tiga tahun lagi sebelum temasya di Paris, saya tekad untuk mengutip seberapa banyak mata bagi menebus kembali impian menjejak kaki ke Olimpik selepas beberapa kejayaan saya kecapi di pentas Asia dan Eropah sebelum ini termasuk pernah meraih tempat kedua dan ketiga dalam Le Tour de Langkawi yang turut disertai pelumba handalan dunia.

“Saya juga pemenang rekod acara ‘scratch race’ sehingga ke hari ini yang saya menangi pada Kejuaraan Berbasikal Asia (ACC) di Bangkok, Thailand pada 2007 sebelum menyertai TSG pada 2011, saya harap impian ke Olimpik tercapai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top