Harris J berharap muzik dibawakan beri kesan pada krisis kemanusiaan

Harris J berharap muzik dibawakan beri kesan pada krisis kemanusiaan

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Penyanyi dan penulis lagu kelahiran Britain, Harris J berharap muziknya mampu menembusi ke seluruh pelusuk dunia yang kini berdepan pelbagai krisis kemanusiaan termasuk peperangan di Palestin dan Sudan.

Harris yang dikenali dengan lagu yang membawa mesej positif ini berkata, dia juga berdoa agar muzik yang dibawakannya dapat memberi kesan kepada segala krisis kemanusiaan yang berlaku.

Namun, katanya, dia juga sedar secara realitinya, kejahatan yang wujud di dunia ini sering kali mengatasi mesej kebaikan yang ingin dibawa dan disebarkan melalui muzik.

“Saya berasa muzik semata-mata tidak cukup kuat untuk melawan kejahatan yang berlaku. Bagi saya, itulah sebabnya wujud syurga dan neraka,” katanya ketika ditemui pada sesi promosi eksklusif sempena pelancaran album EP terbaharunya berjudul Revival yang berlangsung di Ruang Rama Event Space di sini, semalam.

Bagaimanapun, kata Harris, dia percaya Tuhan itu Maha Adil dan segala kebaikan atau kezaliman yang dilakukan oleh sesiapa sahaja akan diadili di akhirat.

“Bagi saya, jika tiada syurga dan neraka, saya akan hilang pertimbangan. Saya juga ada kenalan dan ahli keluarga yang tidak percaya pada Tuhan tetapi mereka orang yang sangat baik.

“Saya sering bertanya kepada mereka, bagaimana anda boleh bangun setiap hari dan mengetahui apa yang berlaku pada kanak-kanak yang tidak berdosa di dunia ini tapi tidak percaya bahawa adanya keadilan?

“Bagaimana anda dapat meneruskan hidup dengan mengetahui penjenayah atau mereka yang menzalimi orang lain itu tidak akan dihukum?” kata penyanyi yang dikenali menerusi lagu Salam Alaikum, Good Life dan I Promise itu.

Kata Harris lagi, keyakinan terhadap pembalasan Tuhan juga membuatkan dirinya mendapat ketenangan supaya tidak terlalu risau memikirkan hal keduniaan.

“Jika saya tidak percaya Tuhan akan menegakkan keadilan, mungkin saya sudah berada di hospital mental sekarang.

“Namun, kerana kita percaya kepada-Nya, kita tahu keadilan pasti akan tiba kelak.

“Tuhan adalah seadil-adil hakim dan orang jahat akan menerima balasan setimpal. Itulah yang membuatkan saya mampu bertahan,” katanya.

Sementara itu, Harris berkata, mini album Revival yang diterbitkan Awakening Music adalah petanda positif kembalinya dia ke arena muzik selepas beberapa tahun menyepi.

EP itu mengandungi enam lagu dan ia mencerminkan kematangan dirinya sebagai seorang artis dan dari aspek peribadi.

EP Revival menampilkan gabungan lagu baharu dan karya ikonik yang disusun semula seperti Qalbi Fil Madinah yang menampilkan kolaborasi dengan penyanyi Maher Zain, O Allah, Salati dan Always Listening.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top