Hartawan minyak Singapura dipenjara hampir 18 tahun kerana tipu HSBC

Hartawan minyak Singapura dipenjara hampir 18 tahun kerana tipu HSBC

Singapura: Pengasas sebuah syarikat perdagangan minyak Singapura yang gagal, dijatuhi hukuman penjara hampir 18 tahun, kerana menipu gergasi perbankan HSBC berjuta-juta dolar dalam salah satu kes penipuan paling serius di negara itu.

Lim Oon Kuin, 82, lebih dikenali sebagai O K Lim, disabitkan pada Mei dalam kes yang menjejaskan reputasi negara itu sebagai hab perdagangan minyak Asia yang terkemuka.

Firmanya, Hin Leong Trading, adalah antara syarikat perdagangan minyak terbesar di Asia sebelum kejatuhan mendadak dan dramatik pada 2020.

Menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun setengah, hakim Mahkamah Negeri, Toh Han Li, berkata, beliau bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa kesalahan itu berpotensi menjejaskan keyakinan terhadap industri perdagangan minyak Singapura.

Ahli perniagaan itu menghadapi sejumlah 130 pertuduhan jenayah membabitkan ratusan juta dolar, tetapi pendakwa raya membicarakan dan mensabitkannya hanya tiga, dua daripadanya kerana menipu HSBC, dan satu lagi kerana menggalakkan eksekutif Hin Leong dalam memalsukan dokumen.

Pendakwa raya berkata, dia menipu HSBC untuk mengeluarkan hampir AS$112 juta dengan memberitahu bank bahawa firmanya sudah memeterai kontrak jualan minyak dengan dua syarikat.

Urus niaga itu, sebenarnya, ‘fabrikasi lengkap, direka mengikut arahan tertuduh’, kata pendakwa raya, sambil menambah bahawa tindakannya ‘mencemarkan reputasi Singapura yang dibina dengan susah payah sebagai hab perdagangan minyak terkemuka di Asia’.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top