am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Guru berputih mata apabila hajat untuk membeli mangga harum manis tidak kesampaian, malah wang simpanannya di dalam bank dan Tabung Haji (TH) turut lesap.
Semuanya berlaku selepas wanita itu berurusan dengan pihak yang mendakwa menjual buah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 25 tahun mendakwa melihat iklan jualan harum manis pada Rabu lalu dan berurusan menerusi aplikasi WhatsApp.
Katanya, suspek meminta mangsa memuat turun satu aplikasi yang didakwa untuk tempahan buah dan mangsa melakukannya termasuk mengisi maklumat seperti nama serta alamat.
“Kemudian mangsa menerima QR kod bagi tempahan tersebut dan suspek mengarahkannya untuk menghantar QR kod tersebut kepadanya.
“Penjual itu menghubungi mangsa, sebelum telefon bimbitnya tiba-tiba terpadam dan kembali aktif beberapa minit kemudian,” katanya hari ini.
Menurutnya, mangsa bagaimanapun tidak merasa pelik dan mengabaikannya sehinggalah keesokan harinya, dia membuat semakan akaun bank dan TH serta mendapati wang simpanan berjumlah RM9,998 telah hilang.
Katanya, mangsa mendakwa terdapat dua pindahan keluar wang daripada akaun TH ke akaun banknya sebelum wang itu dipindahkan pula ke akaun lain.
“Mangsa mengesyaki telefon bimbitnya digodam hingga menyebabkan kerugian sebegitu dan membuat laporan polis untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

