Harun Hashim tak ghairah, tolak tawaran bintangi Mat Kilau

Harun Hashim tak ghairah, tolak tawaran bintangi Mat Kilau

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kapar: Pelakon serba-boleh, Harun Hashim, 68, memaklumkan terpaksa menolak tawaran membintangi filem bajet, Mat Kilau yang menjalani penggambaran di Jerantut, Pahang.

Menurutnya, filem Mat Kilau versi Jerantut ini membariskan beberapa pelakon terkenal lain.

Namun dia bagaimanapun menolak kerana watak yang klise.

“Bayaran yang ditawarkan agak okey tapi saya kurang berminat. Saya macam tawar hati, tak ghairah dan bersemangat macam dulu. Saya mencari sesuatu yang lain dari watak-watak yang pernah saya bawa. Kalau yang pernah buat tak payahlah.

“Buat penat saja. Duit itu memanglah satu hal, tapi saya nak keluarkan sesuatu yang berkesan menerusi watak seperti orang gila atau buta. Yang berat-berat. Kalau tiada, tak payahlah saya berlakon.

“Saya difahamkan skrip ini dibuat lebih awal dari Mat Kilau tapi penggambaran belum dibuat. Tiba-tiba sahaja Syamsul Yusof terlebih dahulu mengarah filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang dapat sambutan hebat penonton,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, Harun yang terkenal dengan watak hero pada era 1980-an berkata, dia agak jarang ditawarkan berlakon sekarang.

“Ikutkan ada produksi hubungi saya kata nak bagi tawaran, tapi akhirnya tiada dan diam begitu saja. Saya pun dah lali dengan perkara ini sejak jadi pelakon dari tahun 1970-an lagi.

“Kena tipu itu perkara biasa. Tapi ia tidaklah sampai saya tak boleh tidur lena. Setiap pelakon kena lalui benda ini. Kalau tak kena, jangan anggap diri pelakon. Itu asam garam yang kita kena telan,” katanya.

Sepanjang Ramadan kali ini, Harun menghabiskan masa beriktikaf di Masjid Bukit Kapar 2, berdekatan kediamannya di sini.

“Saya akan berada di masjid dari Subuh sampailah malam. Jemaah di sini pun dah kenal rapat dengan saya. Dalam masa sama, saya akan bantu isteri berniaga Nasi Arab di perkarangan masjid ini.

“Segala-galanya diuruskan isteri kerana dia ada kemahiran memasak. Saya banyak bantu bagi semangat. Sebenarnya sekitar tahun 2000 pun isteri dah berniaga. Sewa tapak yang dikenakan di sini hanya RM5 sehari.

“Tahun lalu kami ada berniaga di sini sempena Karnival Jom! Ke Masjid dan sambutannya hebat. Nasi Arab kami dah ada peminat. Saya berterima kasih kepada AJK Masjid Bukit Kapar 2 kerana bagi peluang ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top