Hasil 130k tongkol setahun

Hasil 130k tongkol setahun

asmaini@mediaprima.com.my

Antara tanaman yang mendapat permintaan tinggi di pasaran ialah jagung terutama varieti jagung manis.

Ia digemari pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dan boleh digunakan dalam banyak jenis masakan.

Tanaman itu mudah diusahakan dan mempunyai tempoh

matang yang singkat dan menjadi faktor utama ramai pengusaha tani di negara ini mengusahakannya.

Menurut Jabatan Pertanian Malaysia, potensi tanaman itu bukan sahaja menjanjikan pulangan yang lumayan, malah mampu menyumbang kepada pengukuhan rantaian bekalan makanan negara.

Potensi dan permintaan tinggi turut mendorong Muhammad Hafizie Alwi, 28, mengusahakan tanaman jagung di kebunnya di Kuala Kangsar, Perak.

Usaha anak muda itu membuktikan bidang pertanian bukan sahaja menjanjikan kelangsungan makanan negara, malah mampu menjadi sumber pendapatan menguntungkan jika diusahakan dengan kesungguhan dan strategi yang betul.

Muhammad Hafizie berkata, berbekalkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia mengambil langkah berani menceburi sektor pertanian dengan mengusahakan tanaman jagung manis.

Kini, Muhammad Hafizie mengusahakan kawasan seluas 8.4 hektar (21 ekar) yang membuahkan hasil kira-kira 130,000 tongkol jagung manis setahun.

Hasil usaha gigih dan kecekapan pengurusan ladang membolehkan Muhammad Hafizie memperoleh pendapatan tahunan RM112,000.

Kata Muhammad Hafizie, dia mendapat sokongan daripada Jabatan Pertanian menerusi bantuan Geran Agropreneur Muda yang membolehkannya menambah baik kemudahan ladang serta memperluas kapasiti pengeluaran.

“Saya berterima kasih kepada Jabatan Pertanian Negeri Perak kerana banyak membantu melalui kursus dan tunjuk ajar dalam penjagaan pokok, pembajaan serta kawalan perosak dan penyakit sejak awal pembabitan.

“Ilmu dan bimbingan itulah yang menjadi asas kepada kejayaan hari ini.

“Diharapkan lebih ramai belia berani menyahut cabaran dan menyertai sektor pertanian khususnya dalam bidang tanaman makanan yang sangat penting bagi memastikan keterjaminan makanan negara,” katanya.

Kisah kejayaan Muhammad Hafizie boleh menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa pertanian bukan lagi kerjaya tradisional yang dipandang sebelah mata. Sebaliknya ia adalah satu bidang profesional yang menjanjikan masa depan stabil dan berdaya saing.

Ini kerana pertanian kini berkembang seiring teknologi dan inovasi moden, menjadikannya bidang yang dinamik serta relevan dengan keperluan semasa.

Dengan semangat, ilmu dan sokongan daripada pelbagai pihak, golongan muda berupaya menjadi pelopor perubahan dalam landskap pertanian Malaysia.

Sumbangan golongan muda seperti Muhammad Hafizie membuktikan pertanian adalah pelaburan jangka panjang yang boleh memberikan pulangan ekonomi yang tinggi serta menyumbang kepada kesejahteraan negara.

Sementara itu, Perak muncul sebagai negeri pengeluar utama jagung manis negara sejak dua tahun lalu dengan pengeluaran 17,716 tan metrik pada 2023.

Menurut Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perak, Norsiyenti Othman, daerah Kinta menjadi pengeluar tertinggi dengan 7,056.87 tan metrik membabitkan keluasan 700.18 hektar.

Ia diikuti Kampar 7535.84 tan metrik (584.17 hektar) dan Kuala Kangsar 153.96 hektar dengan pengeluaran 1416.61 tan metrik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top