Hasil akhir bukan di tangan penggiat seni – Sarimah Ibrahim

Hasil akhir bukan di tangan penggiat seni – Sarimah Ibrahim

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Sarimah Ibrahim mengingatkan bahawa penggiat seni sebenarnya mempunyai kawalan yang terhad terhadap hasil akhir sesebuah karya, walaupun sudah memberikan sepenuh usaha di set penggambaran.

Menurut Sarimah Ibrahim atau Che Puan Sarimah binti Ibrahim, 48, industri hiburan sememangnya penuh dengan kejutan, terutama bagi mereka yang baru berjinak dalam bidang tersebut.

“Bagi meraka yang baru mula berjinak dalam industri ini, kita perlu faham satu fakta penting iaitu sebagai seorang penghibur, kita sebenarnya mempunyai sangat sedikit kawalan terhadap hasil akhir,” katanya dalam satu hantaran di Threads miliknya.

Tambah Sarimah yang juga merupakan juri tetap kepada program realiti Talk To My Manager musik pertama dan kedua itu, walaupun naskhah atau platform yang diterima kelihatan baik, penggiat seni hanya boleh percaya dan berharap pilihan tersebut membawa hasil yang positif.

“Apabila dijanjikan naskhah atau platform yang baik, kita hanya boleh percaya dan mendoakan pilihan yang dibuat adalah terbaik,” jelasnya.

Tambahnya, setiap pelakon sememangnya memberikan usaha maksimum di set dengan menggunakan segala sumber yang diberikan.

“Setiap babak kita berlakon dengan sehabis baik,” katanya.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa proses suntingan memainkan peranan besar dalam menentukan hasil akhir yang dilihat penonton.

Ujarnya, perkara tersebut merupakan realiti yang perlu diterima dalam industri hiburan.

“Pihak yang mengawal proses penyuntingan sebenarnya memegang keseluruhan hasil akhir sesebuah produksi,” katanya.

Scroll to Top