mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengenal pasti sebanyak 845 kes ketidakpatuhan cukai dalam Operasi Pematuhan Cukai siri ke-10 di Pulau Pinang.
Operasi dikenali sebagai Op Tanjong itu membabitkan 238 pegawai HASiL dengan tumpuan khas diberikan kepada sektor ekonomi utama seperti pembuatan, elektronik dan elektrikal, digital dan teknologi, logistik, pembinaan, kontraktor serta kejuruteraan.
Enam aktiviti utama dilaksanakan sepanjang operasi ini membabitkan audit cukai, verifikasi maklumat pembayar cukai, pematuhan strategik, pungutan, duti setem serta tindakan guaman.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) HASiL, Datuk Hisham Rusli berkata, pihaknya komited melaksanakan pendekatan holistik dan bersepadu merentas lokaliti dan fungsi.
Katanya, pendekatan ini bukan sahaja bersifat penguatkuasaan, malah turut menekankan elemen pendidikan melalui komunikasi secara langsung dengan pembayar cukai supaya mereka sedar hak dan tanggungjawab dalam sistem percukaian negara.
“Kerjasama berpasukan yang kukuh adalah teras utama dalam menyampaikan manfaat optimum kepada semua pihak, justeru jaringan kolaborasi antara agensi akan terus diperkasa sebagai elemen penting dalam tadbir urus yang efektif dan mampan,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Penutupan Op Tanjong di Pulau Pinang, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar), Norfaidah Daud.
Pelaksanaan Op Tanjong membuktikan kesediaan HASiL dalam menyesuaikan strategi pematuhan mengikut landskap ekonomi setempat, tanpa mengetepikan prinsip keadilan dan ketelusan.
HASiL percaya, usaha bersepadu seperti ini akan menjadi asas kukuh kepada ekosistem percukaian yang lestari, telus serta menyumbang secara langsung kepada keupayaan fiskal negara untuk menyokong agenda pembangunan nasional.
Operasi diadakan di Pulau Pinang sebagai kesinambungan kepada inisiatif bersasar untuk mengukuhkan tanggungjawab fiskal dan memastikan keadilan sistem cukai dapat dilaksanakan dengan berkesan di peringkat akar umbi.
© New Straits Times Press (M) Bhd