Hasrat KRW FC daftar dua pemain import baharu tergendala

Hasrat KRW FC daftar dua pemain import baharu tergendala

sukan@hmetro.com.my

Kota Bharu: Hasrat Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) mendaftar dua pemain import baharu terbantut apabila berdepan sekatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Pengurusan kelab memaklumkan sekatan itu dikenakan pada 15 Disember lalu selepas terpalit dengan tuntutan ke atas Kelantan FC yang masih dikaitkan dengan KRW.

Tuntutan dibuat bekas penolong jurulatih Kelantan FC, Pol Corpas dan peguamnya yang cuba mengaitkan KRW dengan bekas kelabnya.

“Kami menafikan sekeras-kerasnya keterbabitan dengan mana-mana kelab sebelum ini di mana pada awal musim tempoh hari, kami sudah memberikan penjelasan rasmi kepada FIFA dan sudah diterima sehingga kami boleh mendaftarkan pemain untuk beraksi pada musim ini.

“Isu ini timbul semula selepas kami cuba mendaftarkan pemain import baharu sempena perpindahan kedua yang sudah dibuka,” kata pengurusan.

Sehubungan itu, Pol Corpas yang berkhidmat dengan Kelantan FC pada musim 2022/23 perlu membuat tuntutan atau apa jua perkara berbangkit dengan pengurusan bekas kelabnya yang masih wujud hingga ke hari ini.

Pengurusan KRW memaklumkan, mereka akan membuat penjelasan rasmi kepada FIFA bagi memastikan dua import baharu dapat beraksi bersama pasukan dalam baki saingan Liga A1 2025/26.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top