BESUT: Hasrat Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21, untuk menyambung legasi ibu dan bapanya sebagai pendidik tidak kesampaian apabila maut dalam tragedi bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Kakak mangsa, Nurul Aiin Sharmin Muhammad Azahar, 24, berkata, Nurul Izyanti yang merupakan pelajar semester kedua jurusan Pendidikan Pengajian Bahasa Melayu disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11 pagi tadi.
“Semalam kami sekeluarga menghantarnya naik bas pada pukul 9 malam di hadapan Masjid Hadhari, tetapi pukul 5 pagi kami dapat tahu dia kemalangan dan pihak universiti mengesahkan adik saya meninggal dunia pukul 11 pagi,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Padang Luas di sini.
Menurutnya Nurul Izyanti merupakan anak kedua daripada empat adik beradik pulang pada minggu lalu untuk menyambut Hari Raya Aidiladha dan ada meminta ibu mereka memasak bakso iaitu makanan kegemarannya.
Difahamkan, jenazah Nurul Izyanti akan dikebumikan di sebelah pusara bapanya di tanah perkuburan keluarga di Kampung Lubuk Kawah, Jerteh, di sini. – UTUSAN