Jutawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Vida berlapang dada apabila hasratnya untuk bertemu jodoh dengan pelawak dan usahawan Shuib sepertinya tidak kesampaian, lapor Kosmo! Online.
Namun begitu, Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman tidak kisah mengenai perkara itu sebaliknya sentiasa berdoa supaya urusan jodohnya dipermudahkan.
“Tidak mengapa, kita ‘move on’ sahajalah. Kalau Shuib tak nak (berjodohan dengan saya), dah sah-sah, saya pun tak nak juga.
“Namun, saya mendoakan yang terbaik buat Shuib sekeluarga agar bertemu pengganti sesuai mengisi posisi isteri dan paling penting, ibu buat anak-anaknya,” katanya menerusi laporan tersebut.
Usahawan berusia 50 tahun itu berkata, bagaimanapun dia sentiasa berharap agar mereka kekal sebagai rakan perniagaan selain tidak mahu memperbesarkan isu tersebut.
“Saya menghormati hasrat dan keputusannya dan sebagai seorang wanita, saya tetap meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Banyak lagi perkara yang saya boleh lakukan dan kecapi bersama atau tanpa lelaki bernama suami. Cuma pesan saya, anak-anak memang perlukan kasih sayang seorang ibu dan saya percaya, anak-anak Shuib juga begitu,” luahnya.
Terdahulu, Vida mengakui tidak menolak jika ditakdirkan bercinta dengan pelawak berkenaan apatah lagi menyifatkan Shuib memiliki ciri-ciri lelaki idaman yang dicari selama ini.
Sumber: Kosmo! Online (Mohd. Haikal Isa) , Instagram Datuk Seri Vida




