
SRG.OG gagal pertahan kejuaraan MSC selepas tewas 1-4 kepada Team Liquid PH dari Filipina dalam final MSC 2025 di Riyadh. Foto MPL
HASRAT Selangor Red Giants (SRG.OG) untuk mempertahankan kejuaraan Mobile Legend Bang-Bang (MLBB) Piala Pertengahan Musim (MSC) tidak kesampaian apabila terpaksa tunduk 1-4 kepada wakil Filipina Team Liquid PH (TLPH) pada aksi final utama di Riyadh, Arab Saudi pada Sabtu.
Perlawanan yang berlangsung dalam format tujuh terbaik itu menyaksikan pasukan SRG.OG dibarisi Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie) serta dua pemain import, Mark Genzon Sojero Rusiana (Kramm) dan John Vincent Banal (Innocent) membuka gelanggang dengan garang apabila memenangi aksi pertama dalam tempoh 16 minit.
TLPH kemudiannya bangkit memperkemas corak permainan dan mengubah taktik mereka dan ia nyata sukar ditandingi buat SRG.OG apabila wakil Filipina itu memenangi empat perlawanan berturut-turut sekali gus meraih gelaran pertama mereka.
Selaku juara TLPH membawa pulang hadiah tunai AS$ 1 juta (kira-kira RM4.2 juta) manakala naib juara SRG.OG meraih AS$ 500,000.
Sementara itu, tempat ketiga bagi kejohanan MSC dimenangi wakil Filipina ONIC PH yang menumpaskan pasukan Indonesia ONIC ID 3-2 pada aksi penentuan petang tadi.
Satu lagi wakil Malaysia, Homebois tidak pulang tangan kosong apabila membawa pulang AS$ 66,000 selepas menamatkan saingan di kedudukan 9 hingga 12. – Bernama