am@hmetro.com.my
Muar: Berat hati seorang bapa untuk meninggalkan pusara meskipun majlis pengebumian anaknya sudah berlalu hampir sejam.
Md Tukirin Saringat, 60, dilihat menunggu atas kerusi yang terletak sebelah pusara anaknya, Muhammad Akmal Md Tukirin, 20, yang maut dalam kemalangan mengorbankan tiga pelajar UiTM Dungun malam tadi.
Pemandu lori itu juga kelihatan sayu dengan sesekali mengesat air mata sambil membaca surah atas pusara anaknya yang turut ditemani ahli keluarga lain.
Menurutnya, sebaik selepas pengebumian, dia tidak sampai hati untuk terus meninggalkan pusara anaknya sebaliknya memilih bersama anak lain untuk menunggu seketika.
“Saya menunggu kerana saya tidak sampai hati melihatnya ‘berseorangan’. Perasaan saya ketika ini sangat sedih kerana baru seminggu saya dan isteri menghantarnya ke Terengganu.
“Tapi yang pulang adalah jenazah dan sebab itulah ketika ini fikiran saya bercelaru seolah-olah tak percaya dia dah pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian arwah di tanah perkuburan Islam Kampung Parit Baru, Batu 18, di sini.
Md Tukirin berkata, dia dimaklumkan berita sedih itu selepas mendapat panggilan daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Dungun sekitar 8 malam.
Katanya, ketika itu hanya Allah yang mengetahui perasaannya kerana dia baru sahaja bersua dengan anaknya ketika menghantar sebaik semester bermula.
“Mereka (pihak UiTM) hubungi saya memberitahu Muhammad Akmal kemalangan dan pada masa sama mereka beritahu anak saya meninggal dunia.
“Selepas Isyak, saya dalam keadaan berpelikat dan baju Melayu terus bergegas ke Terengganu sambil ditemani isteri, Rafeah Buang, 51, dan saudara lain.
“Sampai di Terengganu, saya terus ke hospital untuk melihat jenazah anak. Saya tak terkata-kata dengan apa yang saya lihat ketika itu kerana ia adalah jenazah,” katanya.
Dalam pada itu, Md Tukirin berkata, arwah anak kedua daripada empat beradik sangat peramah dan ringan tulang.
“Dia (arwah bukan setakat anak tapi kawan saya. Tapi, saya reda dengan kehedak Ilahi kerana dia lebih sayangkan arwah.
“Cuma saya masih ingat pesanan terakhir sebelum berangkat pulang ke Muar. Saya pesan supaya belajar rajin, jangan tinggal solat sampai habis belajar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




