Hati Donnarumma masih terpaut kepada PSG

Hati Donnarumma masih terpaut kepada PSG

Paris: Penjaga gol Manchester City, Gianluigi Donnarumma membuat pengakuan mengejutkan apabila berkata dia sebenarnya mahu terus kekal di Paris Saint Germain (PSG) sebelum membuat perpindahan mengejut ke kelab Liga Perdana Inggeris itu awal bulan ini.

Pemain berusia 26 tahun itu yang baru sahaja dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Penjaga Gol Terbaik (Yashin Trophy) pada majlis Ballon d’Or semalam mengakui hatinya masih terikat dengan PSG yang dibimbing Luis Enrique.

“Ya,” jawab Donnarumma ringkas ketika ditanya sama ada dia mahu kekal di Paris.

“Apabila anda sudah berkongsi banyak kenangan, meluangkan masa dan mempunyai ramai rakan, memang sukar untuk meninggalkan mereka.” tambah Donnarumma lagi.

Bagaimanapun, PSG membuat keputusan melepaskannya selepas membawa masuk penjaga gol Perancis, Lucas Chevalier pada jendela perpindahan musim panas ini.

Donnarumma kemudian menandatangani kontrak lima tahun bersama Manchester City dengan nilai perpindahan dianggarkan £26 juta (RM157 juta), sekali gus menjadi pilihan utama Pep Guardiola untuk mengemudi benteng terakhir skuad The Citizens.

Walaupun berat hati meninggalkan Paris, Donnarumma menyifatkan penyambutannya di Etihad sebagai luar biasa.

“City adalah kelab yang hebat dengan pemain pemain hebat. Mereka menyambut saya seperti keluarga dan itu sangat penting bagi saya,” katanya.

Penjaga gol Itali itu turut berterima kasih kepada rakan sepasukan PSG yang membantu kejayaan peribadinya musim lalu apabila kelab itu menjulang trofi Liga Juara Juara buat kali pertama.

“Tanpa mereka saya tidak akan berada di sini. Ini adalah kejayaan seluruh pasukan,” katanya lagi.

Ini adalah kali kedua Donnarumma meraih Anugerah Yashin selepas kali pertama pada 2021 ketika membantu Itali menjuarai Euro.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top