am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bukan lagi rahsia, apabila penyanyi dan komposer, Hael Husaini mengesahkan hatinya kini sudah dimiliki.
Malah komposer lagu Diam dan Bukan Lagi Kita ini juga tidak menolak untuk mengakhiri zaman bujang dalam masa terdekat.
“Ya saya sudah dimiliki dan saya tak ‘available’ untuk selamanya,” jawapannya spontan terhadap pertanyaan media.
Hael bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan akan berkongsi apabila perkara itu akan menjadi kenyataan.
“Kalau jodoh sampai dalam masa terdekat saya terima sahaja. Pasal jodoh kita serahkan pada yang lebih berkuasa, bagi saya bila sampai masanya insya-Allah saya akan terima dengan hati terbuka dan memberitahu anda semua.
“Saya tidak ada masalah untuk berkongsi, cuma bagi saya benda yang tak pasti lagi mungkin kurang enak untuk saya kongsikan,” katanya.
Tambahnya lagi, dia tidak menolak sekiranya jodoh datang dalam kalangan rakan industri seni sendiri.
“Kalau ada jodoh, Insya-Allah sebab saya bukan lagi berumur 18 tahun dan sesiapa yang datang saya terima sahaja. Insya-Allah kalau ada rezeki,” tambahnya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Raya Last Kopek Rocketfuel Entertainment di Rumah Abang Jamil, di sini, malam ini.
Katanya lagi, dia menyerahkan soal jodoh kepada Ilahi dan meminta doa daripada semua.
“Apa-apapun doakan yang terbaik, bukan saja untuk saya tetapi untuk sesiapa sahaja rakan artis yang akan melayari bahtera rumah tangga,” katanya.
Terdahulu, Hael atau nama sebenarnya, Hal Husaini Razmi, 38,
pernah digosipkan menjalin hubungan cinta dengan gandingan duet menerusi lagu ciptaannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd