Pelawak dan usahawan sensasi, Shuib bakal mengambil tindakan saman terhadap seorang pengguna TikTok yang didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah membabitkan syarikat minuman miliknya.
Memetik laporan Harian Metro, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 40, berkata, tuduhan individu itu tidak berasas sehingga mengakibatkan syarikatnya mengalami kerugian berjuta ringgit.
“Sekiranya ingin bercakap soal pengasas sesebuah produk, kita kena fikir apakah kesan yang berlaku kepada individu itu dan juga jenama.
“Saya akan ambil tindakan saman ke atas kenyataan seorang pengguna TikTok yang melampaui batas.
“Jika kenyataan dia boleh menyebabkan kerugian berjuta kepada kita, saya boleh ambil tindakan kerana bukan hendak memberi pengajaran kepada orang lain, tetapi kepada diri dia sendiri supaya jangan anggap kenyataan di media sosial itu sebagai main-main,” katanya.
Mengaku sudah terbiasa melalui perkara sedemikian dan melihat tindakan individu tidak bertanggung jawab tertunduk malu, Shuib sekali agi menegaskan bahawa tuduhan yang mengatakan syarikatnya bukan milik Bumiputera adalah tidak benar.
“Saya sudah biasa melalui perkara sebegini di mahkamah dan selalunya mereka yang terbabit akan tertunduk malu dan bercakap dalam keadaan terketar-ketar.
“Saya tidak mahu melakukan perkara sebegini, tetapi sekiranya saya tidak melakukan, mereka akan fikir mereka adalah golongan bijaksana dalam berkata-kata.
“Adakah menjadi satu kesalahan besar apabila ada pengarah berbangsa lain dalam syarikat.
Apa yang ingin saya tegaskan adalah syarikat ini dimiliki 100 peratus oleh Bumiputera kerana saya adalah pemegang saham terbesar.
“Jadi, hati-hati apabila bercakap kerana apabila membabitkan syarikat, saya perlu mengambil tindakan,” jelasnya.
Terdahulu, Shuib didakwa atas enam pertuduhan iaitu gagal membayar cukai perkhidmatan termasuklah penalti berjumlah RM1.6 juta, tahun lalu.
Shuib dan pengarah bersama, Koh Choon Guan, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.
Difahamkan, mereka gagal membayar cukai perkhidmatan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,191,153.78 dan penalti RM454,000 bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember tahun lalu.
Sumber: Harian Metro




