redzuan.muharam@hmetro.com.my
Dungun: Ketika rakan lain mampu melangkah naik ke atas pentas dengan berjalan, lain pula kisah Muhammad Aish Daniel yang terpaksa didukung bapanya, untuk hadir ke majlis anugerah prestasi Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Mukmin, di sini.
Kisah kanak-kanak mesra disapa Aish, 7, mendapat perhatian selepas tular video di laman sosial yang meruntun hati ramai warganet.
Menerusi video itu, kelihatan Aish didukung bapa Mohd Faizal Mohd Kanafi, 42, untuk naik ke atas pentas sambil diiringi ibunya, Siti Norazilla Zainal, 39.
Berkongsi kisah itu, Mohd Faizal, mengakui sebak bila mengimbas kembali detik ketika majlis berkenaan kerana dia sendiri yang mendukung anaknya itu naik ke atas pentas.
Bagaimanapun, Mohd Faizal yang mencari rezeki sebagai pembantu tukang rumah dan peniaga di pasar malam ketepikan rasa sedih bagi mencipta memori buat anaknya bersama murid lain.
“Memang sedih waktu itu tapi sebagai ayah, saya kena kuat.
“Jadi selagi termampu, saya tak akan tunjuk kesedihan di depan orang kerana nak nampak kuat depan anak.
“Sebab itu, saya bawa juga anak datang ke majlis itu walaupun perlu mendukung Aish,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Sementara itu, Siti Norazilla berkata, Aish dilahirkan normal namun tidak dapat bercakap dan berjalan akibat diserang radang otak pada Mei tahun lalu.
Berikutan itu, dia yang juga suri rumah perlu menguruskan Aish kerana keadaan anaknya yang tidak boleh berdikari.
“Dulu, Aish budak yang aktif dan sangat ceria tapi tak dapat berjalan dan bercakap sejak September lalu.
“Sebelum jadi begitu, Aish tak demam pun tapi nampak perubahannya apabila macam lemah lutut ketika berjalan dan lama kelamaan hilang keupayaan itu.
“Jujurnya memang ambil masa juga untuk saya dan suami terima malah melakukan bermacam ikhtiar untuk merawat anak termasuk berubat kampung tapi belum ada rezeki untuk Aish sembuh,” katanya.
Menurutnya, masanya kini banyak dihabiskan bersama Aish dengan rutin harian bermula pagi hingga lewat malam.
“Suami keluar bekerja jadi saya yang sepenuh masa menjaga Aish sampai dia batuk sedikit pun saya boleh terjaga daripada tidur.
“Sedih tengok keadaan Aish dan kerana itu, saya dengan suami nak sangat datang ke majlis anjuran taska sebagai kenangan terakhir Aish di sekolah.
“Ini kerana doktor ada beritahu kemungkinan Aish tak dapat bersekolah lagi disebabkan penyakitnya.
“Majlis bermula jam 8 pagi tapi kami hadir jam 11 dan Aish adalah nama yang terakhir dipanggil.
“Bercampur baur perasaan waktu itu namun bersyukur kerana Allah SWT izinkan bawa Aish naik atas pentas.
“Cuma tak sangka ada yang rakam hingga kisahnya jadi tular. Sebagai ibu, saya masih menaruh harapan Aish kembali sihat kerana rindu nak tengok dia macam dulu,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat meringankan beban boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB bernombor 7627156438 atas nama Mohd Faizal Mohd Kanafi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




