am@hmetro.com.my
Tumpat: Memasuki minggu ketiga Ahmad Husin hilang di laut selepas keluar memancing, keluarga tetap tidak berputus asa berikhtiar menjejaki warga emas itu.
Sudah ramai ustaz dirujuk dan rata-rata mengatakan Ahmad, 71, masih hidup, namun dikatakan berdepan halangan untuk kembali ke rumah.
Ia menyebabkan ahli keluarga berasa agak lega dan meletakkan sedikit harapan supaya warga emas itu kembali dengan selamat.
Isterinya, Che Bunga Yaakob, 68, bagaimanapun tetap runsing memikirkan keberadaan dan keadaan suaminya menyebabkan dia tidak berselera untuk makan dan minum, serta tidurnya terganggu.
“Tetap terbayang-bayang kelibatnya di setiap sudut rumah dan minggu lalu, sekali lagi dia datang dalam mimpi dalam keadaan bersandar di bot fibernya sambil tersenyum.
“Sudah tiga minggu dia hilang menyebabkan saya tiada selera makan dan tidak dapat tidur nyenyak kerana memikirkan keadaannya yang entah hidup atau mati.
“Hati saya tetap mengatakan suami masih ada (hidup) dan menurut beberapa ustaz yang ditemui, mereka juga berkata sedemikian cuma ada halangan yang tidak membolehkannya kembali ke pangkuan keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kelaboran di sini.
Che Bunga berkata, pencarian turut dibuat ke beberapa kawasan di Selatan Thailand oleh ahli keluarga.
Katanya, semalam, anak bongsunya, Mohd Zulkarnain Ahmad, 26, bersama keluarga mentuanya ke Narathiwat untuk mencari jejak bapanya.
Menurut Che Bunga lagi, solat Hajat sentiasa diadakan dan dia juga sering ke jeti yang menjadi lokasi terakhir suaminya turun ke laut iaitu di Kuala Tanjong untuk membaca Yasin.
“Doa juga setiap hari dipohon semoga Allah permudahkan urusan, jika suami masih hidup, kembalikanlah dia dengan segera dan jika sebaliknya (meninggal dunia), timbulkanlah jasadnya supaya ada tanda,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Ahmad keluar memancing ikan di perairan Tumpat pagi 31 Ogos lalu dengan menaiki bot fiber miliknya, namun tidak pulang ke rumah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




