Hatrik Heberty pastikan JDT benam KL Rovers

Hatrik Heberty pastikan JDT benam KL Rovers

sukan@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) bagaikan sebelah kaki layak ke suku akhir selepas mudah menewaskan pasukan Liga A1 Semi-Pro, Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) 3-0 pada aksi pertama pusingan 16 saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), petang tadi.

JDT perlu mengharungi aksi kedua piala berprestij itu di SSI apabila menerima kunjungan skuad kendalian Wan Mustaffa Wan Ismail pada 30 November ini.

Dalam perlawanan itu, pengendali JDT, Hector Bidoglio membuat rombakan di posisi sayap kanan selepas Arif Aiman Hanapi digantung tiga perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan mempertaruh pemain Johor Dariul Ta’zim II (JDT II), Muhamad Alif Abu Mutalib beraksi di posisi berkenaan.

Malah, dia menurunkan dua lagi pemain JDT II, Ahmad Asyar Hadi Mohd Shapri dan Daryl Sham KK George selain kelibat Safiq Rahim yang memakai lilitan kapten pada perlawanan itu.

KL Rovers selaku tuan rumah perlawanan itu hampir mengejutkan JDT pada minit ke-11 selepas bola sepakan lintang Shahrul Amin Nasharuddin berjaya ditanduk Amirul Husaini Zamri tapi penjaga gol, Christian Abad Amat sempat menepis bola.

Selepas mengasak bertubi-tubi, akhirnya gol dicari JDT menjelma pada minit ke-26 apabila bola sepakan percuma Heberty Fenandes dari jarak 25 meter tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Ahmad Asyraaf.

Selang tiga minit, JDT menambah jaringan menerusi rembatan cantik Heberty yang melakukan sepakan akrobatik bagi menyudahkan bola sepakan lintang Corbin Ong.

Bersambung babak kedua, Bidoglio memasukkan Jese Rodriguez dan Jorge Obregon dalam usaha mempertajamkan lagi barisan serangan.

Usaha itu membuahkan hasil apabila JDT terus mengasak ke kubu KL Rovers dan pada minit ke-72 hasil umpanan Romel Morales, Heberty yang tidak dikawal merembat bola dari luar kotak penalti tepat ke penjuru kiri gol bagi melengkapkan jaringan hatrik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top