bhsukan@bh.com.my
ALOR SETAR : Hasrat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata di laman sendiri menentang Selangor FC dalam saingan Liga Super tidak kesampaian selepas tewas 2-4 pada aksi di Stadium Darul Aman di sini, sebentar tadi.
Pada aksi 15 minit pertama malam tadi kedua-dua pasukan bermula agak perlahan dan buntu mencari gol pendahuluan.
Namun gol yang dinantikan Kedah hadir seawal minit ke-23 melalui Kpah Sherman yang mendapat hantaran daripada Kipre Tchetche buat menewaskan penjaga gawang Sikh Izhan.
Selang lima minit kemudian, Selangor bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Ifedayo Olusegun selepas Renan Alves menampan bola dengan tangan dalam kotak penalti. Dia dibuang padang selepas itu.
Selangor sekali lagi menghukum tuan rumah seminit kemudian dengan jaringan Ahmad Danial yang menerima umpanan dari bahagian sayap. KDA FC yang tidak berputus asa berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-43 menerusi M Anumanthan yang menanduk tepat ke gawang.
Bersambung babak kedua, KDA FC memilih lebih banyak bertahan dan pada minit ke-74 gawang mereka bolos lagi menerusi jaringan Olusegun yang menyudahkan hantaran Hein Htet Aung.
Skuad Lang Merah terus kempunan menyamakan kedudukan apabila gol keempat dihasilkan Selangor FC melalui Olusegun untuk mencatatkan hatrik pada minit akhir untuk kedudukan muktamad 4-2.
© New Straits Times Press (M) Bhd



