Kuala Lumpur : Pengacara dan personaliti televisyen, Hawa Rizwana, menegaskan pembedahan plastik bukan satu pilihan buat dirinya, meskipun berdepan tekanan penampilan sebagai figura awam.
Hawa atau pemilik nama Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 31, lebih percayakan pendekatan rawatan estetik bukan invasif bagi mengekalkan kecantikan semula jadi, tanpa perubahan drastik pada wajah.
“Tidak dinafikan komen mengenai penampilan adalah satu cabaran yang perlu saya hadapi lebih-lebih lagi bila sering aktif di media sosial dan berada di hadapan kamera.
“Orang akan sentiasa ada pendapat mengenai rupa kita. Kadang-kadang ia membina, kadang-kadang ia boleh menjadi tekanan,” ujarnya.
Mengulas mengenai tekanan itu lagi, Hawa berkata ia tidak harus menjadi penentu kepada keputusan besar membabitkan wajah dan identiti diri.
“Saya tak mahu ubah wajah hanya kerana standard atau komen orang. Saya cuma mahu ‘enhance’ apa yang sudah ada. Bagi saya, kecantikan itu mengenai penjagaan yang konsisten, bukan perubahan drastik,” kata Hawa yang dilantik sebagai Duta Estika Medispa.
Menurut Hawa lagi dia melihat rawatan anti-aging moden sebagai satu langkah pencegahan yang bijak, membantu mengekalkan seri dan keanjalan kulit secara progresif dan selamat.
Kolaborasi bersama Hawa bukan sekadar pelantikan duta, sebaliknya membawa mesej bahawa kecantikan boleh diurus secara bijak, selamat dan berperingkat tanpa perlu mengorbankan identiti atau kecantikan semula jadi seseorang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Estika Medispa, Dr Haq Wasa memaklumkan trend kecantikan kini semakin menjurus kepada hasil yang semula jadi dan berperingkat.
Katanya, pihaknya menggalakkan pencegahan awal dengan rawatan yang konsisten dan bersesuaian. Malah keperluan untuk prosedur invasif boleh diminimumkan.
Estika Medispa yang kini memasuki tahun ke-11 penubuhannya, menawarkan pelbagai rawatan estetik bukan invasif dengan fokus kepada penggunaan teknologi terkini bagi membantu pelanggan mengekalkan kesihatan dan kecantikan kulit tanpa prosedur pembedahan.
Sepanjang beroperasi, Estika Medispa membantu mencantikkan lebih daripada 100,000 kulit wajah rakyat Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara peneraju dalam industri estetik bukan invasif di negara ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




