HONOLULU – Ribuan penduduk Hawaii terpaksa dipindahkan selepas beberapa kawasan dilanda banjir paling buruk dalam tempoh lebih 20 tahun.
Memetik laporan The Guardian, kejadian itu dipercayai berpunca daripada siri ribut kuat yang melanda kepulauan tersebut sejak seminggu lalu.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa risiko banjir kilat masih tinggi di Pulau Oahu serta beberapa bahagian di daerah Maui.
Gabenor, Josh Green, berkata tanah di kebanyakan kawasan sudah tepu akibat hujan lebat sebelum ini.
“Ia menjadikan keadaan semakin berbahaya dengan sedikit tambahan hujan sahaja mampu mencetuskan banjir besar, penutupan jalan raya dan kerosakan infrastruktur,” katanya pada Sabtu.
Green turut memaklumkan bahawa tiada kematian dilaporkan setakat ini dan hanya beberapa kecederaan serius direkodkan.
Program khas juga diaktifkan untuk membantu penduduk yang kehilangan tempat tinggal mendapatkan penginapan hotel pada harga diskaun.
Paras air meningkat mendadak sehingga menyebabkan rumah dan kereta dihanyutkan, sekali gus memaksa kira-kira 5,500 penduduk di utara Honolulu berpindah ke kawasan yang lebih selamat.
Lebih 230 mangsa diselamatkan setakat Jumaat, termasuk mereka yang terperangkap di dalam rumah atau kenderaan.
Jalan raya di seluruh kepulauan terpaksa ditutup akibat aliran air deras dan runtuhan.
Pihak berkuasa kecemasan Honolulu turut mengeluarkan beberapa amaran banjir kilat dan meminta penduduk supaya segera menuju ke kawasan tanah tinggi.
Amaran banjir juga dikeluarkan untuk Maui, Molokai dan Big Island.
Empangan berusia lebih 120 tahun di Oahu dikesan berada pada tahap kritikal dan berisiko runtuh.
Datuk Bandar Honolulu, Rick Blangiardi, dalam masa yang sama menggesa penduduk untuk terus mengutamakan keselamatan.
Blangiardi berkata anggaran kerosakan akibat ribut itu mungkin melebihi AS$1 bilion, termasuk lapangan terbang, sekolah, jalan raya, hospital dan ribuan kediaman.
Beliau bagaimanapun memuji usaha petugas kecemasan yang bekerja tanpa henti untuk menyelamatkan nyawa orang ramai.
Ribut berkenaan berlaku akibat fenomena cuaca yang dikenali sebagai ‘Kona Low’, iaitu sistem tekanan rendah yang bergerak perlahan dan menarik udara lembap serta panas ke seluruh Hawaii, sekali gus menyebabkan hujan lebat dan banjir kilat.
Ribut itu merupakan cabaran terkini buat negeri tersebut yang masih belum pulih sepenuhnya daripada tragedi kebakaran Lahaina 2023 yang meragut lebih 100 nyawa.
Green menambah bahawa banjir kali ini akan memberi ‘kesan serius’ kepada seluruh Hawaii.
Beliau juga menggesa penduduk supaya menggunakan pusat perlindungan dan tempat berkumpul yang disediakan di seluruh negeri.
Ringkasan AI
- Ribuan penduduk Hawaii dipindahkan kerana banjir terburuk dalam lebih 20 tahun
- Banjir berpunca daripada ribut kuat yang melanda sejak seminggu lalu
- Tanah sudah tepu memperburuk keadaan, tambahan hujan mampu mencetus banjir besar
- Kira-kira 5,500 penduduk di utara Honolulu berpindah, lebih 230 mangsa diselamatkan
- Empangan berusia 120 tahun di Oahu kritikal dan berisiko runtuh



