Hazama Luah Jeritan Hati Lelaki Dalam ‘Aku Bukan Narsisis’

Hazama Luah Jeritan Hati Lelaki Dalam ‘Aku Bukan Narsisis’

Selepas sekian lama tampil dengan karya bertenaga, Hazama kini kembali dengan sisi berbeza menerusi single terbarunya ‘Aku Bukan Narsisis’ sebuah karya yang penuh luka, jujur dan menyentuh jiwa.

Lagu ciptaan komposer prolifik, Farouk Roman ini menjadi lebih peribadi apabila Hazama sendiri menulis liriknya bersama Zel Hadauan, menjadikan ia luahan hati yang dekat dengan realiti dan pengalaman sebenar lelaki yang berperang dengan emosi.

Lebih istimewa, lagu ini terus melonjak populariti apabila dijadikan runut bunyi untuk sebuah drama bersiri hangat, sekali gus mencuri perhatian ramai.

“Aku Bukan Narsistik memang lain daripada lagu-lagu saya sebelum ini. Ia lebih ‘deep’, sangat emosional dan menuntut saya bermain dengan jiwa, bukan sekadar vokal.

“Jujurnya saya tak sangka lagu ni akan ‘meletup’. Mungkin sebab rakyat Malaysia ni suka lagu-lagu yang ada unsur ‘jiwa kacau’,” katanya.

Dalam pada itu, Hazama berkata dia bukan seorang yang narsisis, malah tidak menyukai perkataan tersebut.

“Saya bukan narsisis. Malah, saya tak suka dengan istilah itu sebab bagi saya ia negatif. Saya pun tak pasti pernah tak jumpa orang macam tu, tapi kalau ada pun, saya takkan terus melabel mereka. Mungkin dia cuma sedang melalui hari yang sukar,” ujarnya tenang.

Aku Bukan Narsisis mengangkat naratif watak lelaki bernama Tajul dalam drama tersebut iaitu seorang kekasih yang sering disalah anggap, dikatakan terlalu mengawal dan mementingkan diri.

Lagu ini bukan sekadar karya muzik, tapi cerminan jiwa lelaki yang terluka dan cuba mencari ruang untuk difahami, bukan dihakimi.

Single ‘Aku Bukan Narsisis’ kini boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula 16 Mei 2025.

Scroll to Top