sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bermain di hadapan penyokong sendiri menjadi pembakar semangat utama buat pemain sepak takraw negara, Haziq Hairul Nizam menjelang saingan Piala Dunia 2026 yang dijadual berlangsung dari 12 hingga 24 Mei ini.
Haziq berkata, dia perlu membuat persiapan rapi dari segi mental dan fizikal bagi memastikan dapat memberikan aksi terbaik, lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri.
“Tekanan itu mesti ada tetapi saya ambil sebagai cabaran. Untuk itu, saya perlu kuatkan mental… bermain di laman sendiri sudah pasti kami akan disokong penyokong sendiri dan itu menjadikan kami lebih bersemangat.
“Bagi saya sendiri, (bermain di laman sendiri) ada tekanannya juga namun untuk saya, siapa tak nak beri yang terbaik apabila bermain di tempat sendiri,” kata Haziq.
Piala Dunia 2026 dijadual menghimpunkan 26 negara dengan 14 negara mengambil bahagian dalam divisyen premier manakala selebihnya dalam divisyen 1.
Acara yang dipertandingkan dalam divisyen premier adalah kuadran, regu dan regu berpasukan manakala divisyen satu hanya dua acara sahaja iaitu regu dan kuadran.
Mengulas mengenai sasarannya tahun ini, Haziq berkata, dia ingin memperoleh gelaran dalam setiap kejohanan utama iaitu Piala Dunia, Piala Raja Thai dan Sukan Asia.
“Sasaran tahun ini, nak menang dalam semua kejohanan antarabangsa. Tak nak menang satu atau dua kejohanan sahaja, kalau boleh nak menang semua,” katanya
© New Straits Times Press (M) Bhd



