Haziq cabar diri

Haziq cabar diri

najiy.jefri@hmetro.com.my

HAZIQ Hussni bukanlah satu nama asing dalam industri hiburan tanah air. Kerjayanya semakin kukuh sebagai penyampai radio Era FM menerusi segmen Petang Era.

Namun, kebelakangan ini, bintang Haziq kian menyinar dalam dunia pengacaraan apabila mengendalikan program The Chosen One bergandingan dengan Jihan Muse.

Haziq berkata, peluang mengacarakan program realiti itu adalah satu tanda kepercayaan besar yang diberikan oleh penerbit.

“Saya sangat bersyukur diberi peluang untuk mengacarakan program besar seperti itu. Ia peluang untuk saya mencabar diri dan membuktikan kemampuan saya.

“Mengacarakan The Chosen One adalah satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan. Program ini sangat dinamik dan ia memberikan saya peluang untuk mencabar diri dalam situasi yang tidak dijangka,” katanya.

Haziq juga mengakui perjalanan ke arah menjadi pengacara yang berjaya tidak datang dengan mudah.

Katanya, dia perlu bersaing dengan beberapa pengacara ternama yang sudah lama berada dalam industri seperti Nabil Ahmad dan Sean Lee.

“Saya sedar saingan dalam bidang ini memang sengit. Nabil dan Sean adalah nama besar dan mereka sudah lama mencipta tempat dalam bidang ini.

“Tapi, ia bukan alasan untuk tidak mencuba. Saingan adalah satu cabaran yang akan membuatkan saya bekerja lebih keras,” katanya.

Dalam menghadapi saingan daripada pengacara lain, Haziq melihatnya sebagai peluang untuk terus belajar.

“Saya percaya setiap orang ada kelebihan masing-masing. Saya banyak belajar daripada melihat cara pengacara lain mengendalikan program.

“Mereka semua mempunyai gaya yang tersendiri dan saya jadikan itu sebagai inspirasi,” katanya.

Haziq juga menganggap pengalaman bekerja di stesen radio banyak membantu dalam membentuk gaya penyampaian pengacaraannya.

Sebagai pengacara yang kian meningkat naik, Haziq sentiasa bersedia untuk menerima cabaran baharu. Dia mengakui bahawa persaingan dengan nama besar memerlukan kerja keras, tetapi Haziq percaya dia berada di landasan yang betul.

“Saya sentiasa terbuka untuk belajar daripada yang terbaik dalam industri ini. Bagi saya, cabaran adalah satu peluang untuk kita mengembangkan potensi,” katanya.

Dengan pencapaian yang semakin mengukuhkan namanya dalam dunia pengacaraan, Haziq berharap dia dapat memberi inspirasi kepada generasi muda yang ingin menceburi bidang ini.

“Tiada jalan pintas untuk berjaya. Anda perlu berani mencuba, bersedia untuk gagal dan terus berusaha. Ini adalah nasihat yang saya selalu pegang sejak mula terbabit dalam industri ini.

“Industri ini sentiasa berubah dan kita sebagai pengacara perlu sentiasa relevan. Saya berharap dapat terus memberikan yang terbaik untuk penonton dan pendengar,” katanya.

Walaupun sibuk dengan dunia pengacaraan, Haziq tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa kepada tiga cahaya mata.

“Setiap rezeki yang diperoleh, saya anggap sebagai amanah untuk dikongsi dengan keluarga.

“Anak adalah sumber kekuatan dan inspirasi saya. Mereka adalah sebab kenapa saya terus bekerja keras,” katanya.

Menyentuh mengenai kepentingan keluarga dalam hidupnya, Haziq sentiasa cuba mencari masa berkualiti meskipun jadual kerjayanya semakin padat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top